Saturday, January 8, 2011

Mencintai Mu , Bukan Mudah...

Seringkali manusia melafazkan kata cinta kepada yang dicintainya. Bahkan dengan melafazkan kata cinta manusia merasakan bahawa segala rasa itu telah memenuhi hatinya yang sekeping. Tanpa pernah memikirkan selanjutnya, apakah erti cinta sebenarnya. Cinta menurut pandangan Ibnu Qayyim Al Jauzi ialah, yang menunjukkan kita kepada tujuan yang sebenar dalam kehidupan didunia ini. Beliau sangat terkenal dengan pendapatnya yang istimewa mengenai hidup di dunia.

Manakala bagi orang-orang sufi, mereka berpandangan bahawa hanya segala yang ada di alam ini serta rangkaian ciptaan ALLAH Taala yang akan menambah cinta mereka kepada ALLAH. Maka, mari kita fikirkan semula, apakah makna cinta yang pernah kita lafazkan? Adakah cinta yang bermaksud semata-mata membahagiakan hati si dia secara fizikal? Atau cinta itu bermaksud kesanggupan menanggung amanah ALLAH kepada setiap dari kita sebagai khalifah fil ardh.

Pernah seorang rakan memberitahu, bahawa dia menyintai kekasihnya sepanjang hayatnya. Tetapi, apa yang terjadi, setelah berkahwin dan mempunyai anak, sikap si isteri semakin jauh berbeza berbanding ketika bercinta. Lalu, rakan tadi mula berpaling dari cintanya itu. Akhirnya keadaan menjadi bertambah buruk dan cinta yang dikatakan sepanjang hayat itu terpaksa di akhirkan lebih awal sebelum habis hayat. Pastinya ini adalah luka yang pedih untuk dirasakan.

Lalu, apa makna cinta yang kita cari selama ini? Bahagia apa yang kita mahu dari hidup ini? ALLAH SWT mencintai diriNya dengan cinta yang sebenar-benarnya. Dengan rasa cintaNya yang agung itu, DIA menciptakan segala makhluk dengan rasa cinta, seindah kejadian dan mempunyai fungsi dari tiap kejadian. DIA menciptakan segalanya hanya untuk satu tujuan, iaitu beribadah dan membesarkanNya. Kerana itu, ALLAH sangat mencintai orang yang mencintaiNya.

Justeru teman, mencintai itu bukan mudah. Bahkan untuk mendapatkan cinta juga tidak mudah. Nabi Muhammad SAW sendiri sering berdoa dalam doanya yang suci, "Ya ALLAH, ku mohon kepadaMu untuk mencintaiMu dan mencintai orang2 yang mencintaiMu, dan segala amal yang membawa ku untuk mencintaiMu”. Sedangkan Nabi yang mulia ini sering berdoa untuk mendapatkan rasa cinta kepadaNya, apatah lagi kita. Memang, mencintai tidak mudah. Dalam meletakkan segala rasa cinta kepada makhluk, cinta kepada Sang Pencipta wajib di tempat paling atas. Kerana cintaNya tidak akan membuat kita berasa tersia, tersisih dan kecewa.

Menyemai rasa cinta kepada manusia, perlu di dahului dengan mengenal rasa cinta kepada Sang Pencipta. Adakah amanah yang ALLAH berikan kepada kita sudah terlaksana? Sebagai seorang Muslim, yang dikurniakan nikmat Iman dan Islam, adakah benar-benar kita menjadikan Islam sebagai cara hidup? Melengkapkan segala urusan dalam kehidupan menurut cara Islam. Berakhlak dengan akhlak Islam, berfikir, berkata-kata dan bertindak menurut Al Quran dan As Sunnah.

Amanah sebagai seorang anak kepada ibu dan ayah. Mentaati dan memuliakan mereka menurut syariat ALLAH. Tak lupa amanah sebagai seorang Muslim kepada saudaranya, jiran tetangga, sahabat, orang tua dan sebagainya. Dan melafaz dan merasakan cinta kepada makhluk bukan perkara mudah. Kerana, ia perlu didahului dengan menyemai rasa cinta kepada ALLAH. Menyemai, seterusnya menyuburkan rasa cinta kepada ALLAH itu lebih memerlukan jihad melawan hawa nafsu kita sebagai manusia. Kerana kadang-kadang manusia lupa bahawa ALLAH memperlihatkan rasa cintaNya kepada kita dalam pelbagai cara. Rasa kasihNya dalam bentuk kesenangan dan kesusahan. Bahkan rasa kasihNya juga dalam bentuk ujian kesenangan dan kesusahan. Maka, sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh ALLAH, wajib bagi kita berfikir dan merenung selalu.

Benarlah Ya ALLAH, mencintai Mu, bukan perkara yang mudah jika tidak cuba berfikir akan nikmat dan rahmatMu di sepanjang hayatku.

fikrah_islamic@yahoo.com

8 January 2011,

1.20 pm

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

No comments:

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!