Sunday, January 23, 2011

Bingkai Semalam

1 tahun 4 hari...

Kiraan dari tarikh arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun masa kian berlalu...menambahkan hari-hari hujung...yang bakal juga membawa kita semua ke sana, aku tetap saja merasakan bahawa hanya baru semalam aku berbual-bual dengannya. Hari itu masih segar dalam ingatan. Biarlah apa saja yang orang perkatakan..ini adalah memori buatku. Takkan ada siapa pun yang mampu merampasnya. Hari-hari akhir, ketika aku membuat keputusan untuk pulang ke kampung, menziarahinya, walau cuti hanya sehari. Jarak perjalanan hampir 6 jam tak mampu mematahkan hati. Jarak antara Negeri Sembilan dan Kedah, hanya bagaikan Sunga Petani dan Merbok. Aku melangkah keluar dari bumi Nilai tanpa ada toleh ke belakang. Kerana, bahagiaku di sana. Hanya jasad yang berada di sini. Hati, jiwa, akal, dan seluruhnya berada di Merbok. Tanpa ada secuit pun mampu ku bawa ke sini.

Hari-hari segar itu masih dapat ku ingati. Langkah-langkah berusaha ke Bilik Pengarah Program Pendidikan USIM, aku memohon untuk mendapatkan pengecualian daripada meneruskan semester ketika itu. Keputusan ku bulat. Tekad untuk berjumpa dengan Dr Azizi, Pengarah Program semata-mata kerana itu. Namun, aku melangkah longlai keluar dari bilik itu. "Kamu tidak dibenarkan menangguhkan pengajian, kerana kamu adalah ambilan terakhir di sini". Pada saat itu, segala alasan bagaikan tidak munasabah untuk aku fikirkan. Kerana dalam fikiran, aku hanya ingin menjaga dia sepenuhnya semasa tempoh sakitnya. Aku sendiri tidak mengetahui berapa lama lagi hayatnya ketika itu.

Hari itu mak segar, dia telefon. Aku menyambut, mendengar suaranya jelas. Aku menjelaskan betapa aku memohon maaf, kerana tidak dapat menangguhkan pengajian untuk menjaganya. Aku sangat sedih kerana berada jauh darinya. Kalaulah Nilai ini hanya di Pulau Pinang, aku akan berulang setiap hari dari rumah ke kampus. Sebenarnya, bukan aku tidak mahu memulakan panggilan telefon untuk bercakap dengannya. Aku sangat sedih dengan keadaan aku pada masa itu. Selama bertahun-tahun aku tinggal dengan mak, aku tidak pernah tahu mak mengalami simptom penyakit itu. Apabila aku sudah berada jauh dari rumah, baru segalanya bermula. Dan, pada masa itu, aku berada jauh. Apa mampu ku lakukan? Untuk menalifon setiap hari, aku bimbang mengganggu tahap kesihatan mak. Dan juga aku tak sanggup menahan air mata ketika bercakap dengannya. Mak tak pernah merungut tentang kesakitan. Mak sentiasa optimis tentang penyembuhan penyakitnya. Mak akan bercerita segala aktivitinya seharian. Walaupun hanya berada di atas katil, mak sangat sibuk. Dengan bacaan quran, kitab, buku-buku agama dan doa, menyampaikan tazkirah kepada teman-temannya, mendengar kuliah agama dan macam-macam lagi.

Saya akan bercakap dengannya melalui telefon dengan air mata yang entah dari mana-mana. Dan tanpa ada sendu dan sebak di keluarkan, tangisan hanya berbunyi di dalam hati. Saya berasa teramat sakit menahan setiap esak tangis yang tak mampu saya keluarkan. Setiap kali selepas bercakap dengannya, saya akan menangis semahunya di belakang bangunan hostel. Tempat yang sunyi, takkan ada sesiapa nampak saya di sana. Setelah puas, dengan sendu berbaki, saya melangkah pulang ke bilik. Mengambil wudhu', solat dan berdoa, moga Allah menjaganya sepanjang ketiadaan saya. Saya ingin mendengar lagi suaranya yang girang. Mengganti suara rintih yang kadangkala membuatkan saya ingin terus terbang ke sana. Mengganti nadanya ketika memohon maaf dariku, andai dia punya salah sepanjang membesarkan kami. Oh! Mak, sepatutnya, anakmu ini yang memohon ampun itu..kerana tidak menjadi anak sepertimana yang mak impikan. Belum dapat mencapai syahid yang mak tiupkan di telinga kami sejak kecil. Belum menghafaz Al Quran, sepertimana yang mak harapkan sejak kami dalam kandungan. Dan kami belum mampu menghantar mak ke Baitullah, seperti apa yang mak rindukan sejak dulu....

Hari itu hari Rabu, universiti akan cuti keesokan harinya kerana cuti umum sempena Keputraan YDP Neg.Sembilan. Walau hanya sehari, selepas sahaja habis kelas, aku melangkah terus keluar dari bumi Nilai untuk mendapatkan bas ke utara semenanjung. Perjalanan terasa panjang. Aku tiba kemudiannya di Sungai Petani, di jemput ayah dan walidah, wanita mulia yang setia menjaga emak dengan sangat baik. Aku tiba dirumah disambut soalan dari mak, dah cuti ke? Kalo tak cuti, kenapa balik? Kan membazir duit...? Mak, dalam keadaan sebegini, masih tenang. Aku yang merasa gundah berada jauh di sana....

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

1 comment:

Petunjuk Ketenangan said...

salam.. takziah ukhtie...
moga tabah mengharungi kehidupan...

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!