Wednesday, October 10, 2012

Selamanya tetap di hati


Ufuk senja kembali mengundang malam datang. Alunan bacaan Al Quran kedengaran mendayu, sayu. Sarat dengan makna, penghayatan dalam bait-bait indah yang suci, murni, tenang. Kicauan burung kembali ke sarang. Pulang petang membawa rezeki yang didapatkan setelah seharian berterbangan. Remang senja pun kelam.

Rumah kecil di kaki bukit itu tidak lagi seperti dulu. Walaupun kelihatan dari luar, ia tetap saja sama, dindingnya, halaman, pokok-pokok menghijau, rimbun pisang yang tembun. 

Namun, dicelahan pohon kelapa yang membuai-lambai, rumah kecil itu menyimpan hamparan indah yang disulam selama ini.

“Adik, tolong ummi, dah nak maghrib ni”, pinta ummi dari ruang depan. Minta tolong pada Huda, anak bongsu yang dipanggil adik. Ummi minta dipimpin ke bilik air. Untuk bersuci, dan berwudhu’. Itu memang rutin hidupnya sejak dulu. Solat tetap saja di awal waktu. Persediaannya awal dari waktu. Sampai saja azan dikumandang, ummi sudah di sejadah. Kini, dia masih juga begitu. Sakit yang dialami tidak membataskannya untuk melakukan solat.


Adik segera ke ruang depan. Melakukan urusan itu seperti selalu. Mengemas ruang terlebih dahulu. Agar sewaktu memimpin ummi, tak ada benda yang menyangkut di kaki ummi. Adik tahu, ummi sukar untuk menunduk melihat langkah di kakinya. Adik juga tahu, keadaan bertambah parah jika ummi terjatuh atau tersadung apa-apa di perjalanannya.

Memimpin ummi ke bilik air bukan satu kerja mudah. Kemudian menanti ummi ketika dia sedang qada hajatnya. Seterusnya mencedokkan air untuk wudhu’. Segalanya perlu sangat berhati-hati. Perlahan. Agar ummi punya ruang untuk menarik nafasnya. Agar tidak terkena pada luka atau bengkak sakitnya. Adik memang kuat berhadapan dengan ini semua. Namun, sebalik kekuatan itu, ummi lah punca kekuatan itu datang. Sinarnya terpancar diwajah ummi. Dia sedang menanggung kesakitan yang bukan sedikit risikonya. Tapi ummi tetap saja tenang menjalani kehidupannya.

Ketenangan rumah kecil saya dan adik-adik  dulunya riuh suaranya. Membangunkan anak-anak untuk solat, ke sekolah, mengaji Al Quran, laungan ceramah agama di radio dan televisyen serta bebelan disiplin untuk anak-anak. Kini, rumah kecil itu masih juga meriah.  Dengan anak-anak ummi yang silih berganti pulang dari perantauan, pesanan-pesanannya masih mengisi ruang rumah kecil di kaki bukit.

Cuma, riuhnya rumah tergantung pada keadaan ummi. Saat dia tersenyum riang, saya dan adik-adik  meraikannya. Saat mengerut dahinya menahan sakit, saya dan adik-adik  turut bersedih. Emosi saya dan adik-adik  dipengaruhi. Tanpa dibuat-buat, seisi rumah turut terbuai dek keadaan semasa. Rumah itu masih saja meriah dengan siri-siri kuliah dan ceramah agama yang di pasang selalu. Rumah itu masih saja meriah dengan alunan nasyid-nasyid yang ummi minati. Rumah itu juga masih bergema dengan alunan ayat cinta RabbNya.

Tapi di sudut rumah, ummi di atas katil. Di kiri dan kanannya penuh dengan Al Quran dan bahan-bahan bacaan. Luang masa yang ada diisi dengan bacaan. Di celahan kehadiran tetamu bersilih ganti, ummi masih membaca dan menyampaikan apa yang di bacanya kepada orang lain.

“Jangan lah tidur nyenyak. Bangunlah solat malam. Ummi takut berjaga malam sorang-sorang”, pesan ummi pada saya dan adik-adik . Tanpa pernah ummi lalai dari mengingatkan anak-anaknya ini. Saya mengerti, pesan ini bukan kerana ketakutannya. Tapi dia benar-benar mengingatkan saya dan adik-adik  tentang solat malam. Ummi tidak pernah merasa takut dengan pekatnya malam. Dia berhati waja, bangun di tengah malam untuk bekerja. Demi sesuap nasi untuk anak-anaknya. Saat itu, adik baru mula bertatih. Bagai tiada hari esok, dia berusaha keras. Agar esok sinarnya cerah. Walau mendung yang datang, ummi tetap berusaha. Kerna ummi menganggap bahawa setiap detik adalah cahaya untuk anak-anaknya.

“Ijah, kalau ummi dah tak ada, jaga adik-adik. Pastikan tidak meninggalkan solat. Kesihatan mereka. Jangan sampai begini”. Ummi masih berpesan. Dia tetap juga sama seperti dulu. Pesannya bukan makan minum yang cukup. Bukan wang ringgit yang melimpah. Dan bukan juga emas perak bertatah. Tapi pesannya hanya tentang solat dan sihat. Nikmat berharga setelah Iman dan Islam yang membuatkan kita hidup bertuah, kata ummi. Dalam, sarat penuh makna. Pesan itu tersemat kukuh di ruang hati. Menyimbah hati yang penuh dengan mazmumah. Ummi berpesan dengan penuh susah payah. Menahan nafas agar sampai di hujung ayat. Saya? Ini azimat! Nyah kau mazmumah! Azam diri.

Keadaan tidak lagi boleh dijangka. Tiap hati saya dan adik-adik  berdebar-debar. Mengira, bertanya sendiri, apakah akan berlaku selepas ini? Sedangkan jawapan itu, saya dan adik-adik  sendiri tidak tahu. Ummi selalu bertanya pada walidah, ibu kami yang lain, yang sangat besar jasanya, samada mungkin apa yang dialaminya adalah tanda-tanda kematiannya? Kelu, lidah mana yang mampu berkata saat itu? Saya dan adik-adik  tidak tahu takdir sedetik selepas ini. Demi menyedapkan hati ummi, saya dan adik-adik , walidah serta yang lain selalu menidakkan. Tapi itu cuma sekali-sekala. Masih ada ketikanya, soalannya saya dan adik-adik  tinggalkan tanpa jawapan. Bukan kerana berlaku kejam pada ummi. Namun, tiada upaya untuk menjawab lagi.

Sejak mula ummi sakit, siapa sahaja yang berada di rumah akan bergilir-gilir berjaga malam untuk menemani ummi. Namun, adakalanya mata tak mampu ditongkat lagi. Tinggallah ummi keseorangan. Walaupun si peneman tidur di sisinya, ummi tetap berjaga di malam hari. Kegelisahan mencari tempat dan cara tidur yang selesa.

“Bangun dari bangku tu, dia nak duduk,” ummi bersuara di suatu pagi indah. Ketika saya dan adik-adik  sibuk-sibuk menjalankan rutin harian merawatnya, mencuci luka, dan meletakkan ubat di tempat tersebut. Ummi minta agar kerusi yang saya dan adik-adik  sedang guna dikosongkan. Dia menunjukkan arah ke muka pintu rumah. Tiada sesiapa. Namun wajah ummi menunjukkan pasti. Di sana memang ada orang yang di sebutkan. Saya dan adik-adik  memandang sesama sendiri. Walaupun tidak melihat sesiapa yang ada di muka pintu, saya dan adik-adik  memberikan ruang.

Seketika, ummi seakan-akan bersembang. Tapi tanpa sepatah kata yang terbit dari mulutnya. Setelah beberapa minit ummi diam, akhirnya dia berkata, “Dia wali ALLAH yang datang berziarah”. Semua mulut terkunci. Hanya hati masing-masing berkata-kata. Tanpa ada ulasan lanjut, saya dan adik-adik  meneruskan urusan lain. Tinggal walidah di sisi ummi. Seharian rumah saya dan adik-adik  sunyi, sepi.

Hari-hari berlalu. Keadaan ummi makin susut. Daripada ummi masih mampu membonceng motor bersama saya dan adik-adik . Gembiranya dia ketika itu. Kemudian di bawa menaiki kereta untuk mendapatkan rawatan. Masih mampu berjalan, menziarahi rakan-rakannya, sanak-saudara. Akhirnya ummi tidak lagi larat untuk berjalan jauh. Sejak lima bulan lalu, tidur ummi tak menentu. Tanpa baring untuk melelapkan mata. Saya dan adik-adik  melihat dengan air mata. Tapi tidak didepannya. Saya dan adik-adik  ingin sekuat dia berhadapan dengan penyakit, memang risikonya adalah maut. Namun, adakala hati tak mampu menipu. Air mata tetap mengalir tanpa mampu ditahan.

Ummi tidak lagi boleh menaiki kenderaan. Untuk ke kereta sahaja ummi sudah kehilangan nafasnya. Saya dan adik-adik  berusaha sedayanya memudahkan keadaan. Kerusi roda, tandas duduk yang boleh dipindah, penyandar badan, bilik air baru untuk kemudahannya, dan segala usaha yang ada. Ummi ALLAH takdirkan menempuh ujian yang sesuai dengan tahap sabarnya. Ummi tak lagi berdaya untuk ke bilik air. Saya dan adik-adik  mengurusnya di katil.

“Malam tadi ummi mimpi, tok datang ziarah, pak teh, tok wan pun ada sama”, ummi bercerita lagi. Saya dan adik-adik  diam mendengar. Mereka orang-orang yang kami kasihi dan telah pergi ke alam baqa’. Ummi ceria sepanjang hari. Ketika menerima kunjungan teman-teman seperjuangannya, dia masih bertenaga, bercerita, dan ingin mendengarkan perkembangan gerakerja semasa. Hanya teman-temannya tidak tega bercerita. Mengenangkan keadaan kesihatannya. Namun ummi tetap seperti dulu. Semangatnya tak pernah luntur. Di atas katil dia memberikan panduan kepada teman-teman. Di atas katil juga dia mengajarkan teknik-teknik bagaimana berucap dengan baik, bagaimana menarik perhatian audien terhadap ucapan. Ummi mengeluarkan ideanya untuk aktiviti-aktiviti yang boleh teman-temannya jalankan.

10 Januari 2010, walidah yang setia di sisi ummi menghubungi saya. Ummi tak berapa sihat dalam beberapa hari, kata walidah. Saya hanya berdoa dalam hati, mudah-mudahan ummi cepat sembuh. Luka ummi sudah mula menampakkan tanda-tanda untuk sembuh. Dan saat saya kembali ke kampus dua minggu yang lalu, ummi masih ceria. Wajahnya cerah. Saya yakin, InsyaALLAH, teriak di hati. Minggu seterusnya saya punya rancangan sendiri. Saya ingin bertemu Pengarah Program Kursus, ingin berbincang untuk menangguhkan semester ini. Untuk memberi tumpuan menjaga ummi. Tekad hati. Dukacita! Khabar yang saya harap menjadi tidak indah. Saya tidak boleh memohon penangguhan semester ini atas beberapa sebab yang tidak dapat di elakkan. Sedih. Sedangkan saya sudah berjanji pada ummi.

14 Januari 2010, cuti sempena Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Walau sehari, saya mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung di utara tanahair. Semata-mata untuk bertemu ummi, menjelaskan keadaan. Tanpa memberitahu terlebih dahulu, saya pulang segera. Sesampainya, ummi mengangkat wajahnya. Oh! Keadaan ummi memang sangat berbeza berbanding dua minggu lalu. Ummi semakin menunduk. Sangat berat walau untuk mengangkat kepala. Ummi terkejut dengan kepulangan saya. Namun wajahnya cerah. Masih seperti dulu. Senyum, tatkala mengatakan saya pulang bagaikan Negeri Sembilan itu hanya sejarak antara Sungai Petani dan Merbok. Senyumnya cantik. Gigi yang baru siap ditempah itu menambah serinya. Tanpa ada rehat, ummi minta agar dibuatkan bihun ‘PaMa’ untuknya. Makanan kesukaan yang membuatkan dia selalu gembira ketika makan. Cuma saya kadang-kadang terlewat menyediakan. Maafkan saya, ummi.

Cuti ini hanya sehari. Pulang ke Kedah dan jika hendak kembali semula ke Negeri Sembilan untuk hadir kelas sehari, dan selepasnya cuti hujung minggu. Penyakit malas saya mula bertandang. Bukan semata-mata kerana malas, mengenangkan jarak perjalanan, melihat keadaan ummi, saya jadi bertambah malas. Sikap yang tidak baik. “Belajar mesti utama, walau apa pun terjadi,” pesan ummi saat saya menjelaskan bahawa saya tidak dapat menangguhkan semester dan malas untuk pulang ke kampus untuk hadir kelas yang sehari. “Ummi tetap disini menunggu anak-anak pulang, pergilah belajar,” sambung ummi lagi. Luruh hati saya. Dia benar-benar ingin menyampaikan hasratnya yang tertangguh dulu. Dia ingin saya dan adik-adik  mencapai apa yang tidak dapat dicapainya. Oh! Ummi ratu hati kami.

17 Januari 2010, tiket untuk pulang ke kampus sudah ada. Hanya kaki berat untuk melangkah. Sejak kelmarin, ummi tidak meminta untuk di sediakan makan. Saat makanan sudah disediakan pun, ummi masih senyap ketika dipanggil. Menongkat kepalanya dengan bantal, ummi mengangkat kepala sekali-sekala ketika memanggil adik untuk solat, menegur apa yang tidak kena dan ketika ada orang datang menziarahinya. Ketika Zulaikha, adik yang belajar di Universiti Malaya memohon diri untuk pulang ke kampus pagi tadi, ummi mengangkat muka seketika dan sekadar mengangguk. Tanda mengizinkan. Ummi diam sejak pagi. Sejak selepas subuh tadi. Bahkan ketika saya wudhu’ untuknya pagi tadi, dia sekadar bertanya, sudah lewatkah? Ummi tidak mahu subuhnya kelewatan.

Ketika ingin meminta izin untuk pergi, ummi sudah terbaring di katilnya. Tidak seperti biasa. Senyap, sunyi. Ummi kelihatan pucat. Dia mengangguk ketika saya mohon izinnya. Saya langkahkan kaki dengan berat hati. Ayah dan walidah yang menghantar ke perhentian bas. Sepanjang perjalanan yang diringi dengan hujan renyai, air mata mencurah tanpa mampu diempang. Mengingatkan wajah ummi sebentar tadi. Sangat berat. Telefon bimbit saya dail, mencari seorang teman. Padanya saya minta tolong sampaikan pesan kepada Pengarah Program bahawa saya ingin mendapatkan cuti dalam tempoh seminggu untuk bersama ummi. Alhamdulillah, teman saya memahami. Sesampai di perhentian bas, saya cuba menjual semula tiket tersebut. Namun, tiket tersebut tidak dapat dijual semula. Sedih hati saya. Tetapi saya merasa puas dengan keputusan itu. Biarpun harga tiket itu tak dapat kembali ke dompet saya, tetapi itu langsung tidak mengganggu fikiran saya. Dalam fikiran saya hanya ada ummi ketika itu.

Hujan lebat di hentian bas. Saya, ayah dan walidah menanti Amat dan Afifah yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur. Amat belajar di KUIS, Afifah cucu yang ummi belai dari kecil. Menunggu mereka sangat lama dirasakan. Setiap saat, saya hanya ingin berada di sisi ummi. Saya ingin melihat dia di depan mata saya. Setelah Amat dan Afifah sampai, kami segera pulang. Ketika Afifah sampai, ummi mengangkat kepalanya. Memandang, wajahnya kembali segar. Dia pasti gembira melihat cucu kesayangannya.

18 Januari 2010, pagi itu rumah kami sunyi. Adik kembar saya ke sekolah. Adik-adik yang lain ada di rumah. Sejak ummi mula sakit, rumah ini memang meriah hanya dengan bacaan ayat suci Al Quran. Samada di bacakan berganti-ganti oleh setiap ahli rumah yang ada, atau radio yang dipasang, malah kerapkali ummi sendiri yang membacanya. Dia sangat mencintai hobi yang satu ini.

Pagi itu bersilih ganti tetamu yang hadir. Bagi kami, itu adalah kebiasaan. Semasa ummi masih sihat rumah ini sentiasa menerima kunjungan. Kata ummi, tetamu itu membawa rahmat. Rumah kecil ini penuh. Sahabat handai ummi, sanak saudara dan jiran tetangga. Cuma, hari ini ummi tidak seperti biasa. Dia tidak mampu melayan tetamunya seperti selalu. Ketika ummi diwudhu’ kan untuk solat subuh, cuma beberapa ketika dia mengeluarkan suaranya. Setelah itu, ummi diam. Tidak mengangkat kelopak matanya. Ketika waktu sarapan, makanan yang disuap tidak seperti selalu yang membuka seleranya. Ketika proses mencuci lukanya juga ummi tidak bersuara.

Menjelang tengahari, rumah kami penuh. Pak Ngah, abang ummi tiba bersama Mak Ngah dan anaknya. Ummi mengangkat kelopak matanya tatkala diberitahu ketibaan abangnya. Ummi mengangguk perlahan. Setelah itu, teman-teman lama ummi tiba. Hampir sepuluh orang. Saya masih disisi ummi. Memperdengarkan bacaan Yasin untuknya. Pesan ummi selalu.

Menjelang jam 3 petang, adik pulang dari sekolah. Saya segera meminta mereka menjamah makanan tengahari dan kemudiannya menemani ummi dan membacakan Al Quran untuk ummi. Si kembar taat walau penat. Sesudah mereka makan, saya pula ke dapur. Mencari makanan untuk mengisi perut yang kosong sejak semalam. Hilang selera saya untuk makan apabila melihat ummi hanya mampu menerima air zam-zam dan air bacaan Yasin yang kami titiskan. Di ruang hadapan, tempat ummi diletakkan, bergema bacaan Yasin yang dibacakan oleh adik dan teman-teman ummi. Saya menjamah sepotong tembikai. Belum sempat habis di kunyah tembikai pertama yang masuk ke mulut, Mak Ngah dan teman-teman ummi memanggil saya. Saya segera ke ruang hadapan.

Kelihatan turun naik nafas ummi semakin kuat. Ummi kami syahadahkan. Ketika itu, Omar, adik bongsu lelaki saya berada di sisi kepala ummi. Menuturkan syahadah di telinga ummi. Sayup suara ummi kedengaran mengikut. Terakhir kalinya, ummi menghembuskan nafasnya tepat waktu azan Asar mula dikumandangkan. Perjalanan ummi telah habis didunia ini. Di sana pula kembaranya akan bermula. Rumah kecil itu hiba, sayu, dengan esak dan sendu tangisan anak-anak ummi, teman-teman seperjuangannya, sanak saudara, jiran tetangga serta mereka yang berada di sisinya saat itu.

Ummi pergi pada saat dia sedang berbahagia melihat anak-anaknya mendaki puncak jaya. Ummi pergi pada saat kami sudah mengenal dia dan jalan perjuangannya. Ketika kami sudah mula boleh berbincang dan saling memberi pendapat dan buah fikiran. Dia meninggalkan kami dengan seribu satu hikmah dalam mentarbiyah bukan sekadar kami, bahkan teman-temannya. Alhamdulillah, ummi telah mendapat ganjaran akhir hidupnya yang terbaik  untuknya. Pada saat kami masih memerlukannya, masih merindukannya, masih mengharap dia selalu ada bersama, masih memohon doa restunya, ummi kami lepaskan pemergiannya dengan penuh redha.
Ummi tetap kami bawa bersama, dalam pendakian, perjalanan dan pencarian kami. Semangat ummi terus bersama kami selamanya. Kerana, pada saat ummi meletakkan kami, sebagai sumber semangat ummi meneruskan hidup ini. Pada saat itu, kami merasa sangat bangga, kerana ummi adalah wanita yang melahirkan dan membesarkan kami.

Saban malam, ku mengira bintang di langit,
Ummi kata, menjadi yang paling bersinar itu, sengit,
Ugutan, cabaran, godaan selalu menggigit,
Cuma satu, fikiran tak boleh sempit,
Berfikir, jangan hanya setempat,
Tapi malu, perlu bertempat,
Ummi, doamu di jiwa tersemat……


17 Mei 2010, Nilai

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!