Sunday, January 23, 2011

Bingkai Semalam

1 tahun 4 hari...

Kiraan dari tarikh arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun masa kian berlalu...menambahkan hari-hari hujung...yang bakal juga membawa kita semua ke sana, aku tetap saja merasakan bahawa hanya baru semalam aku berbual-bual dengannya. Hari itu masih segar dalam ingatan. Biarlah apa saja yang orang perkatakan..ini adalah memori buatku. Takkan ada siapa pun yang mampu merampasnya. Hari-hari akhir, ketika aku membuat keputusan untuk pulang ke kampung, menziarahinya, walau cuti hanya sehari. Jarak perjalanan hampir 6 jam tak mampu mematahkan hati. Jarak antara Negeri Sembilan dan Kedah, hanya bagaikan Sunga Petani dan Merbok. Aku melangkah keluar dari bumi Nilai tanpa ada toleh ke belakang. Kerana, bahagiaku di sana. Hanya jasad yang berada di sini. Hati, jiwa, akal, dan seluruhnya berada di Merbok. Tanpa ada secuit pun mampu ku bawa ke sini.

Hari-hari segar itu masih dapat ku ingati. Langkah-langkah berusaha ke Bilik Pengarah Program Pendidikan USIM, aku memohon untuk mendapatkan pengecualian daripada meneruskan semester ketika itu. Keputusan ku bulat. Tekad untuk berjumpa dengan Dr Azizi, Pengarah Program semata-mata kerana itu. Namun, aku melangkah longlai keluar dari bilik itu. "Kamu tidak dibenarkan menangguhkan pengajian, kerana kamu adalah ambilan terakhir di sini". Pada saat itu, segala alasan bagaikan tidak munasabah untuk aku fikirkan. Kerana dalam fikiran, aku hanya ingin menjaga dia sepenuhnya semasa tempoh sakitnya. Aku sendiri tidak mengetahui berapa lama lagi hayatnya ketika itu.

Hari itu mak segar, dia telefon. Aku menyambut, mendengar suaranya jelas. Aku menjelaskan betapa aku memohon maaf, kerana tidak dapat menangguhkan pengajian untuk menjaganya. Aku sangat sedih kerana berada jauh darinya. Kalaulah Nilai ini hanya di Pulau Pinang, aku akan berulang setiap hari dari rumah ke kampus. Sebenarnya, bukan aku tidak mahu memulakan panggilan telefon untuk bercakap dengannya. Aku sangat sedih dengan keadaan aku pada masa itu. Selama bertahun-tahun aku tinggal dengan mak, aku tidak pernah tahu mak mengalami simptom penyakit itu. Apabila aku sudah berada jauh dari rumah, baru segalanya bermula. Dan, pada masa itu, aku berada jauh. Apa mampu ku lakukan? Untuk menalifon setiap hari, aku bimbang mengganggu tahap kesihatan mak. Dan juga aku tak sanggup menahan air mata ketika bercakap dengannya. Mak tak pernah merungut tentang kesakitan. Mak sentiasa optimis tentang penyembuhan penyakitnya. Mak akan bercerita segala aktivitinya seharian. Walaupun hanya berada di atas katil, mak sangat sibuk. Dengan bacaan quran, kitab, buku-buku agama dan doa, menyampaikan tazkirah kepada teman-temannya, mendengar kuliah agama dan macam-macam lagi.

Saya akan bercakap dengannya melalui telefon dengan air mata yang entah dari mana-mana. Dan tanpa ada sendu dan sebak di keluarkan, tangisan hanya berbunyi di dalam hati. Saya berasa teramat sakit menahan setiap esak tangis yang tak mampu saya keluarkan. Setiap kali selepas bercakap dengannya, saya akan menangis semahunya di belakang bangunan hostel. Tempat yang sunyi, takkan ada sesiapa nampak saya di sana. Setelah puas, dengan sendu berbaki, saya melangkah pulang ke bilik. Mengambil wudhu', solat dan berdoa, moga Allah menjaganya sepanjang ketiadaan saya. Saya ingin mendengar lagi suaranya yang girang. Mengganti suara rintih yang kadangkala membuatkan saya ingin terus terbang ke sana. Mengganti nadanya ketika memohon maaf dariku, andai dia punya salah sepanjang membesarkan kami. Oh! Mak, sepatutnya, anakmu ini yang memohon ampun itu..kerana tidak menjadi anak sepertimana yang mak impikan. Belum dapat mencapai syahid yang mak tiupkan di telinga kami sejak kecil. Belum menghafaz Al Quran, sepertimana yang mak harapkan sejak kami dalam kandungan. Dan kami belum mampu menghantar mak ke Baitullah, seperti apa yang mak rindukan sejak dulu....

Hari itu hari Rabu, universiti akan cuti keesokan harinya kerana cuti umum sempena Keputraan YDP Neg.Sembilan. Walau hanya sehari, selepas sahaja habis kelas, aku melangkah terus keluar dari bumi Nilai untuk mendapatkan bas ke utara semenanjung. Perjalanan terasa panjang. Aku tiba kemudiannya di Sungai Petani, di jemput ayah dan walidah, wanita mulia yang setia menjaga emak dengan sangat baik. Aku tiba dirumah disambut soalan dari mak, dah cuti ke? Kalo tak cuti, kenapa balik? Kan membazir duit...? Mak, dalam keadaan sebegini, masih tenang. Aku yang merasa gundah berada jauh di sana....

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

SAHABAT

SAHABAT

KARYA ASAL : Hassuna Binti Abdul Rahman

23012011:2326

Hadirmu teman….

Bukan sekadar menghiasi hariku..

Bukan sekadar memeriahkan hidupku..

Bukan hanya mengembalikan tawa di wajahku…

Namun..

Hadirmu teman lebih dari itu…

Hadirmu merawat lukaku…

Hadirmu mendengar rintihan hatiku

Hadirmu mengesat garis duka diwajahku…

Tuhan…

Terima kasih atas kebaikan-Mu

Memberi kesempatan padaku..

untuk merasainya…

mempunyainya…

mendampinginya…

Tuhan…

Kau hadiahkan kebahagiaan kepadanya

Kau hadiahkan kebaikan untuknya…

Kau hadiahkan kemurahan rezeki untuknya…

Kau anugerahkanlah kemuliaan untuknya…

Hanya untuknya…

Temanku…

Sahabatku…

Tuhan…

Aku sayang temanku…

Aku kasih akan sahabatku…

Pertaupkanlah ukhwah kami…

Walau laut yang luas memisahkan kami…

Walau gunung yang tinggi menyukarkan kami…

Walau masa menjurangkan kami…

Namun, mungkin Tuhan …

KAU sudi mempertemukan kami dalam doa-doa kami..

Doa-doa ikhlas untuk temanku, sahabatku…

Doa yang lahir dari lubuk yang paling dalam di hatiku…

Yang selalu mengingatimu teman-temanku..

Sahabat-sahabatku…

Terima kasih teman…

Terima kasih sahabat…

Atas ukhwah yang kalian sudi hamparkan…

Atas kasih sayang yang diberikan..

Atas perhatian yang ditaburkan…

Moga semuanya akan mendapat balasan…

Balasan dari-Mu TUHAN…


...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Saturday, January 15, 2011

Inikah Umat Yang Rasul Cintai?


Dikisahkan dalam Sirah Nabawiyyah, pada saat hujung nyawa baginda Rasulullah SAW, yang disebut-sebut sebelum syahadah adalah umat yang ia rindukan. Kebimbangannya kepada umat yang akan ditinggalkannya amat sekali. Bahkan semasa hayat baginda, terdapat suatu hadith dimana Nabi SAW menceritakan tentang umat yang ia saling merindukan. Itulah umat akhir zaman. Sehingga menimbulkan kecemburuan di hati para sahabat kepada umat yang Nabi rindukan itu. mereka ingin menjadi sebahagian daripada umat yang dirindukan. Namun ALLAH mentaqdirkan para sahabat itu lahir dan hidup sezaman dengan Nabi SAW. Jika kita adalah umat yang Nabi rindukan tanpa pernah bertemu, maka para sahabat itu adalah mereka yang saling mencintai dan dicintai Nabi Muhammad SAW.

Menyentuh tentang perjalanan dakwah kali ini. Saya berpeluang mengikuti kumpulan pendakwah yang setia menyampaikan risalah Rasul SAW ke Pulau Ketam, Selangor. Tanpa ada perancangan asalnya, saya bersetuju dengan segera, kerana berfikir dua kali untuk dakwah adalah was-was jika ia bukan bertujuan untuk merancang strategi atau apa-apa yang memberi manfaat untuk dakwah. Lalu, jika merasa yakin untuk perjalanan dakwah itu, sudah ada apa yang diperlukan, gerak pertama yang diperlukan adalah langkah ke hadapan. Yang lainnya, bertawakal lah kepada ALLAH. InsyaAllah, DIA akan mencukupkan.

16 Januari 2011

Saya teruja mengikuti perjalanan kali ini. Kerana akan melalui pengalaman pertama di tempat baru. Dengan suasana yang lain dan pastinya metod dakwah yang berlainan diperlukan. Pagi sebelum perjalanan ini dimulakan, saya kelewatan dari menghadiri mesyuarat yang djadualkan. Apabila sampai di tempat yang telah dijanjikan, hanya muslimin yang ada. Tiada kehadiran muslimat. Hati agak sedih. Adakah saya akan berseorangan hari ini? Namun, saya melangkah juga seperti dijanjikan, ke rumah-rumah perlindungan dan jagaan anak-anak yatim di sekitar Kuala Lumpur. Alhamdulillah...ALLAH sentiasa mencukupkan rezeki untuk mereka. Tetap ada saja yang mnghulur, dan Allah benar dalam janjiNya, bahawa Dia Yang Maha Mencukupkan...

Seterusnya, selepas muslimin solat Jumaat, kami bertolak dengan sebuah kereta dan sebuah van. Sudah dipertengahan jalan, van mengalami kerosakan. Menunggu orang yang akan membaiki van, dan segala urusan, kami terkandas di tepi lebuhraya itu hampir empat jam. Sabar.... Setelah urusan selesai, van yang rosak terpaksa ditunda pulang. Dan kami meneruskan perjalanan. Sampai di jeti, feri sudah tidak berkhidmat pada waktu malam. Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk bermalam di surau pelabuhan.

Ketika menjelang subuh, saya terdengar bising di luar surau. Oleh kerana ruang tertutup yang mengasingkan tempat solat muslimin dan muslimat, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di luar. Setelah mendapatkan maklumat, rupanya penjaga surau itu, seorang berbangsa India, bukan muslim mengarahkan kami segera keluar dari surau bersama barang-barang sebelum waktu Subuh menjelang. Ini kerana dia takut di marahi oleh pemilik kedai makan di ruang yang berhampiran surau, kerana membenarkan orang luar bermalam di surau. Dikhuatiri akan kehilangan barang.

Malang, saya melihat pemilik kedai makan tersebut adalah seorang Melayu beragama Islam. Malah dia dengan lantangnya mengeluarkan suara memarahi ustaz-ustaz kerana menggunakan surau untuk bermalam. Pada saat itu, sebak memenuhi dada. Para penyampai agama di marahi oleh orang yang turut sama beragama yang mulia ini. Bahkan tak ada rasa hormat langsung untuk berkata-kata dengan sopan.
Jika memang tidak dibenarkan bermalam di surau, tidak adakah lagi budi bahasa untuk digunakan? Apakah yang bercakap dengan para pendakwah itu bukan orang Melayu? Apakah India yang menjadi penjaga surau itu bukan orang Malaysia? Di manakah 1 Malaysia yang di laung-laungkan? Ketika itu saya memikirkan, bangsa ini terlalu sensitif ketika Interlok menyentuh perkataan 'paria' dalam karyanya. Tapi, di mana keprihatinan bangsa ini ketika bercakap dengan kita, orang Islam, di ruang ibadah kita.

Namun, saya sebagai antara orang muda dalam kumpulan ini, merasa malu, ketika mana para pendakwah yang berusia ini tetap saja sabar dan masih tersenyum, ketika mereka menaiki dan turun tangga berulang kali. Ketika tersilap memesan minuman di kedai makan milik Melayu yang kurang sopan tadi. Dan ketika membayar harga minuman yang tidak seberapa harganya. Saya menjadi malu kerana sedang membara panas di dalam hati dek kerana sikap Melayu yang lebih berusia dari saya, tapi tidak menunjukkan budi bahasa dan akhlak sebagai orang tua. Dan malu juga dek kerana sikap India yang muda, dilahirkan di Malaysia, mengaku ini tanah tumpah darahnya, tapi tidak langsung berbudi bahasa dengan orang yang lebih berusia.

Inilah hasilnya 1 Malaysia rekayasa Najib Tun Razak!...Surau Pelabuhan Klang, tempat orang Islam bersolat di jaga oleh seorang India yang tidak beragama Islam. Di mana sensitiviti kita? Tidak sakitkan mata memandang? Tidak sakitkan hati yang merasa? Usah di tanya di mana sensitiviti India tersebut, tapi, tidak adakah lagi orang Melayu, beragama Islam yang boleh menjaga surau ini? Pihak Pelabuhan Klang sendiri, kenapa biarkan ini terjadi?

Lalu, inikah umat yang Rasulullah SAW paling cintai???? Sebagai Muslim, tempat kita beribadah adalah dimana-mana sahaja...tetapi, jika ada tempat yang telah disediakan, eloklah kita mengimarahkannya...walau ia hanya surau kecil, ia adalah tempat mulia.

Perjalanan kali ini menambahkan lagi erti kepada saya dalam memahami onak duri jalan dakwah ini. Kita hanya menempuh sedikit cubaan ini, hanya kerana bimbang barang yang seberapa mana harganya, ada insan yang sanggup menolak berbuat baik kepada orang lain. Sedang, berbuat baik terutama kepada saudara seagama adalah keutamaan, ALLAH pasti memberi balasan atas setiap kebaikan. Ia adalah perniagaan yang tak pernah ada ruginya..

Koleksi perjalanan ini menyuburkan lagi sifat sabar, memahami dan mengharapkan segalanya kepada ALLAH. Selamanya kaki ini akan melangkah di jalan dakwah, mudah-mudahan...agar dapat membalas cinta Rasulullah SAW kepada umat ini yang tiada taranya. Walau cinta yang dapat di balas ini hanya sekelumit cuma...

20 Januari 2011, Nilai, 17;24pm

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Saturday, January 8, 2011

share hadith untuk ingatan diri sendiri dan kamu... ;)




“Sesiapa yang jatuh cinta, lalu tetap menjaga kesucian dirinya, menyembunyikan rasa cintanya dan bersabar hingga (jika) mati, maka dia mati syahid.” (HR. al Hakim dll)



...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Mencintai Mu , Bukan Mudah...

Seringkali manusia melafazkan kata cinta kepada yang dicintainya. Bahkan dengan melafazkan kata cinta manusia merasakan bahawa segala rasa itu telah memenuhi hatinya yang sekeping. Tanpa pernah memikirkan selanjutnya, apakah erti cinta sebenarnya. Cinta menurut pandangan Ibnu Qayyim Al Jauzi ialah, yang menunjukkan kita kepada tujuan yang sebenar dalam kehidupan didunia ini. Beliau sangat terkenal dengan pendapatnya yang istimewa mengenai hidup di dunia.

Manakala bagi orang-orang sufi, mereka berpandangan bahawa hanya segala yang ada di alam ini serta rangkaian ciptaan ALLAH Taala yang akan menambah cinta mereka kepada ALLAH. Maka, mari kita fikirkan semula, apakah makna cinta yang pernah kita lafazkan? Adakah cinta yang bermaksud semata-mata membahagiakan hati si dia secara fizikal? Atau cinta itu bermaksud kesanggupan menanggung amanah ALLAH kepada setiap dari kita sebagai khalifah fil ardh.

Pernah seorang rakan memberitahu, bahawa dia menyintai kekasihnya sepanjang hayatnya. Tetapi, apa yang terjadi, setelah berkahwin dan mempunyai anak, sikap si isteri semakin jauh berbeza berbanding ketika bercinta. Lalu, rakan tadi mula berpaling dari cintanya itu. Akhirnya keadaan menjadi bertambah buruk dan cinta yang dikatakan sepanjang hayat itu terpaksa di akhirkan lebih awal sebelum habis hayat. Pastinya ini adalah luka yang pedih untuk dirasakan.

Lalu, apa makna cinta yang kita cari selama ini? Bahagia apa yang kita mahu dari hidup ini? ALLAH SWT mencintai diriNya dengan cinta yang sebenar-benarnya. Dengan rasa cintaNya yang agung itu, DIA menciptakan segala makhluk dengan rasa cinta, seindah kejadian dan mempunyai fungsi dari tiap kejadian. DIA menciptakan segalanya hanya untuk satu tujuan, iaitu beribadah dan membesarkanNya. Kerana itu, ALLAH sangat mencintai orang yang mencintaiNya.

Justeru teman, mencintai itu bukan mudah. Bahkan untuk mendapatkan cinta juga tidak mudah. Nabi Muhammad SAW sendiri sering berdoa dalam doanya yang suci, "Ya ALLAH, ku mohon kepadaMu untuk mencintaiMu dan mencintai orang2 yang mencintaiMu, dan segala amal yang membawa ku untuk mencintaiMu”. Sedangkan Nabi yang mulia ini sering berdoa untuk mendapatkan rasa cinta kepadaNya, apatah lagi kita. Memang, mencintai tidak mudah. Dalam meletakkan segala rasa cinta kepada makhluk, cinta kepada Sang Pencipta wajib di tempat paling atas. Kerana cintaNya tidak akan membuat kita berasa tersia, tersisih dan kecewa.

Menyemai rasa cinta kepada manusia, perlu di dahului dengan mengenal rasa cinta kepada Sang Pencipta. Adakah amanah yang ALLAH berikan kepada kita sudah terlaksana? Sebagai seorang Muslim, yang dikurniakan nikmat Iman dan Islam, adakah benar-benar kita menjadikan Islam sebagai cara hidup? Melengkapkan segala urusan dalam kehidupan menurut cara Islam. Berakhlak dengan akhlak Islam, berfikir, berkata-kata dan bertindak menurut Al Quran dan As Sunnah.

Amanah sebagai seorang anak kepada ibu dan ayah. Mentaati dan memuliakan mereka menurut syariat ALLAH. Tak lupa amanah sebagai seorang Muslim kepada saudaranya, jiran tetangga, sahabat, orang tua dan sebagainya. Dan melafaz dan merasakan cinta kepada makhluk bukan perkara mudah. Kerana, ia perlu didahului dengan menyemai rasa cinta kepada ALLAH. Menyemai, seterusnya menyuburkan rasa cinta kepada ALLAH itu lebih memerlukan jihad melawan hawa nafsu kita sebagai manusia. Kerana kadang-kadang manusia lupa bahawa ALLAH memperlihatkan rasa cintaNya kepada kita dalam pelbagai cara. Rasa kasihNya dalam bentuk kesenangan dan kesusahan. Bahkan rasa kasihNya juga dalam bentuk ujian kesenangan dan kesusahan. Maka, sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh ALLAH, wajib bagi kita berfikir dan merenung selalu.

Benarlah Ya ALLAH, mencintai Mu, bukan perkara yang mudah jika tidak cuba berfikir akan nikmat dan rahmatMu di sepanjang hayatku.

fikrah_islamic@yahoo.com

8 January 2011,

1.20 pm

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!