Sunday, December 19, 2010

debu jalan dakwah

16 Disember 2010

Hampir setahun yang lalu, saya menjejakkan kaki ke daerah senyum dalam derita ini dengan tujuan lain. Tapi kali ini saya kembali buat kali ketiga hampir pada tarikh pertama kali saya ke sini. Ketika itu, saya ke sana dengan debaran kerana melangkah pergi, sedang bonda tercinta sedang bertarung dengan kesakitan. Hati saya berbelah bagi, antara ibu dan sahabat. Namun, atas kasih ibu tercinta, saya langkahkan kaki jua. Daerah yang basah, subur dengan darah para syuhada'...

dan

Saya kembali lagi ke sini, untuk bersama-sama mereka yang memerlukan. Mereka tak memerlukan materi, tetapi sambungan kasih saudara seagama sudah cukup bagi mereka untuk merasakan bahawa mereka tidak bersendirian berjuang. Perjalanan dilitupi debu ini bukan sahaja membawa bersama lelah di badan, tapi debu dakwah yang berterbangan menghinggap tiap inci tubuh bersama keringat sepanjang jalan.

Saya dan rakan-rakan dihidangkan dengan cerita duka pertama dari adik Habibah di Maa'had mengenai bapa saudaranya yang telah kembali kepada ALLAH kerana di tembak oleh pihak yang tidak dikenali. Habibah menangis ketika menceritakannya. Betapa keakraban mereka sehingga pemergian bapa saudara amat dirasai olehnya. Saya merenung betapa institusi kekeluargaan di Malaysia sudah jauh dari ini. Sudah amat jarang sensitiviti di dalam diri.

Ketika beramah mesra dengan penduduk sekitar Maahad, kami menemui sepasang suami isteri, yang mana isterinya berasal dari Johor. Mereka turut gembira dengan kedatangan kami. Hampir keseluruhan kisah duka mereka, sama. Tanpa usul periksa, mereka di tangkap dan di bawa pergi bertahun lamanya. Malah ada di kalangan mereka yang tidak kembali lagi kepada keluarganya. Kehilangan tanpa jejak untuk dikesan.

Kehadiran kami diraikan oleh warga Maahad yang menanti sekian lama. Walaupun kami lewat tiba, sambutan yang diterima amat mengharukan. Dengan serba kekurangan, mereka menyediakan kami juadah yang sedap.

17 Disember 2010

Kami memulakan misi ziarah mangsa konflik Selatan Thai dan Pejabat Operasi Peguam Muslim, yang membela mangsa-mangsa konflik melalui perundangan. Betapa dalam kekurangan, mereka melakukan kerja dengan baik, tak pernah mengharapkan ganjaran hidup selesa. Bahkan perjuangan membantu mangsa konflik bakal menghadiahkan mereka nyawa di hujung peluru dan pedang. Hidup mereka yang mengusahakan pembelaan hak kemanusiaan ini benar-benar terancam. Hanya sepenuhnya pada Tuhan mereka letakkan harapan.

Ketika menziarahi Keluarga Allahyarham Faisol, anak muda yang syahid, saya dan rakan-rakan menahan rasa sebak pada mulanya. Keluarga ini benar-benar tabah menghadapi kehilangan harapan tunggak keluarga satu-satunya selepas ayah mereka. Allahyarham merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga ini. Seorang pelajar yang baik, aktif dan periang. Namun, sekelip mata segalanya berubah apabila dia disyaki tanpa sebarang bukti sebagai perancang sebuah pembunuhan.

Faisol dijejaki selama tiga tahun dan akhirnya syahid setelah ditembak berdas-das tembakan oleh pihak tentera Thai dari darat dan udara. Dia melawan serangan itu berseorangan. Saya berada di sebelah ibunya. Saya menggenggami tangan ibunya. Yang bergetaran ketika itu bukan ibunya, malah saya. Ibu tabah ini benar-benar dipilih Allah melahirkan syuhada' dari rahimnya. Benar-benar istimewa.

Pemergian Faisol diiringi redha ibu dan ayahnya sepenuh hati. Buat anak lelaki tercinta ini, mereka hadiahi solat di setiap malam dengan doa agar anak mereka di rahmati. Bahkan solat malam ini belum pernah sekalipun tertinggal sejak hari pertama pemergiannya, menurut ibunya. Ketika ditanya, "Apakah yang ibu ingin katakan dengan pemergiannya?", dia hanya berkata, 'cukup sudah dia membahagiakan kami ketika hayatnya, malah pemergiannya dengan sangat mulia, dan dia akan membahagiakan kami di Akhirat dengan kesyahidannya'.

YA ALLAH, betapa itu yang kami rindukan...bisik dari setiap hati kami.

18 Disember 2010

Sebelum perjalanan pulang, kami singgah menziarahi tiga korban terbaru di daerah getir ini. Sebuah kampung aman damai, tetapi di golak oleh kedatangan tentera yang menggobek-gobek keamanan kampung ini. Ketua Mukim, seorang ahli jawatankuasa dan Imam Masjid menjadi korban.

Merenung wajah-wajah mereka yang ditinggalkan, membuat hati saya kembali menghimbau kenangan lama. Ketika sesuatu terjadi dalam kehidupan saya, hampir sama, namun saya dan adik-adik masih sangat bertuah berbanding mereka. Alhamdulillah, ALLAH menganugerahi ibu yang kuat untuk bangun dari kejadian itu. Dan hasilnya kini, walaupun ibu yang saya kasihi sudah tiada, saya pasti dia sedang tersenyum saat pemergiannya. Kerana selesai sudah tanggungjawabnya melaksanakan amanah sebagai seorang ibu.

Perjalanan pulang terasa begitu lambat, berbanding perjalanan pergi ke daerah itu. Saya meletakkan daerah ini dan segala isinya di hati. Betapa ingin di jerit agar semua telinga yang tuli mendengarkan bahawa, BUMI INI PUNYA JIWA-JIWA MERDEKA, TIDAK AKAN GENTAR WALAU DENGAN APA CARA!!!



...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Tuesday, December 7, 2010

Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin Kebangkitan Ummah



1 Muharram 1432 H


Menghadiri Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan -13 (PPMK-13) yang diadakan di DBP, K.Lumpur anjuran TERAS Pengupayaan Melayu. Saya menganggap bahawa ini sebagai satu nostalgia untuk sepanjang hidup saya. Menghadirinya menjadikan nostalgia ini terimbas kembali saat bermulanya kehidupan saya tapaki dari tahap ke tahap.

Adakah saya mampu ....?

Saya telah mula melibatkan diri secara langsung pada PPMK-6, saya belajar untuk menjadi ahli masyarakat yang sedar akan hal2 yang berlaku di sekeliling..saya belajar menghargai tiap sesuatu yang terdapat di sekeliling...dan belajar untuk tak perlu malu berbuat kebaikan di mana saja dan pada siapa pun...
Imbasan ini bagaikan filem yang di tayangkan melayari hadapan mata menceritakan setiap sudut kehidupan yang pernah saya jalani...menayangkan setiap tempat yang pernah saya jejaki..dan segala wajah yang pernah muncul dalam sepanjang hayat saya sehingga kini.

Kehadiran saya kali ini sungguh menggugah semangat...saat mendengar betapa mereka yang berusia duduk berdampingan untuk berfikir masalah anak-anak muda...sedangkan jika dikira jangkaan usia..mereka hanya boleh duduk sendiri dengan selesa tanpa perlu memikirkan masalah anak orang lain...cukup lah dengan hanya anak-anaknya sendiri...

Mereka adalah orang-orang berusia yang meraikan idea anak-anak muda...menghargai tenaga segar remaja...dan menasihati, membimbing dengan hikmah melalui jalan-jalan nya yang tersendiri...saya duduk disini...ketika hati masih berbisik...saya amatlah tak layak untuk berada di majlis ini....tapi setiap kali ALLAH tetap memberikan kelapangan untuk saya hadir...tanda apakah jika bukan kerana saya tetap dipilih untuk berada di sini...?ALHAMDULILLAH Ya Allah...!

Mereka hadir sungguh dengan pengalaman yang luar biasa, menjadi pencatat sejarah dalam kehidupan manusia-manusia yang kebanyakan di luar sana...saya merasa malu....tapi...

Biarlah saya mati disini, di tanah yang saya kenali, di hadapan orang yang saya sayangi, dan di antara para pejuang agama Ilahi!...

Saya berdoa dengan penuh harap....agar kehidupan ini seterusnya tetap berada di jalan ini...yang ALLAH nampakkan padanya rahmat ukhwah dan kasih sayang...rahmat kemudahan dan ketenangan hati....saya merasakan indahnya tiap pertemuan ini...yang belum pasti adakah saya berkesempatan lagi untuk melihatnya di lain kali...?

Saya masih saja rindukan pertanyaan yang pernah arwah bonda ajukan setiap kali renungan panjangnya....'adakah ummi akan sampai umur kepada zaman kedatangan Isa dan Al Mahdi?'....saya juga menyimpan persoalan yang sama..pada sepanjang jalan yang saya lalui....kerja2 hari ini adalah untuk harapan kepada sebuah pertemuan.....itu...

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Friday, November 26, 2010

Semarak Dakwah

Tika teman gembira bersama
Aku di hujung kali mengira masa
Apakah bahagia itu sebenarnya
Adakah cukup kasih dan sayang
Adakah dengan harta kemewahan
Adakah dengan pangkat dan gelaran....?

Hari mengajak ku berbicara
Tentang rasa sebuah bahagia
Merenung jejak Nabi dan Sahabat tercinta
Betapa mereka bahagia membawa agama
Ke persada dunia

Membina empayar dua pertiga dunia
Membangun kualiti peradaban manusia
Hanya kesusahan yang kita nampak di sana
Namun, cinta mereka pada agama
Membawa ke syurga

Di manakah kita kini....?
Hanya membilang hari yang tak bererti
Dengan wang ringgit yang menuntut puji
Tanpanya, terasa bagaikan pengalas kaki
Sedang, jika iman bertakhta di hati
ALLAH dan cinta Rasul lebih bererti
Kerna di sana Taqwa melangit tinggi

Ayuh teman, cukuplah kegembiraanmu
Ketika ummat menangis sendu
Kerana kemiskinan iman dan ilmu
Atas dosa kita yang selalu
Merasa ini bukan tugasku.....

Sendu itu harus diubati
Dengan perncerahan akal dan budi
Ilmu ALLAH harus di gali
dan disebarkan, hidupkan bersama urat nadi

Langkahlah teman, walau setapak
Demi dakwah yang sudah pecah retak
Lorong sunyi ini harus di semarak
Dengan ukhuwwah fillah yang tiada tambak

Aku kan gembira bersamamu
Melewati lorong-lorong indah berilmu
Moga di sana kita kan bertemu
Menjadi tetamu Kekasih Agung Mu..............YA ALLAH....


...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Wednesday, November 24, 2010

Cinta Ibu

Damai hatinya bak hamparan baldu
Bicaranya ramah memikat kalbu
Namun, tak siapa tahu
Betapa dia menahan rindu

Pada kekasih hati
Pada yang bergelar habibi
Pada dia yang dicari
Oleh anak yang belum mengerti

Dia teguhkan hati,
Bak Hajar yang ditinggalkan
Dia teguh meyakini
Bak Khadijah yang membenarkan

Perjuangan ini bukan mainan
Dia dipilih berdampingan
Dia insan pilihan
Menjadikan diri sayap perjuangan

Hidup adalah perjuangan
Demi agama tiada tandingan
Dia melepaskan kekasihnya penuh tekad
Kerna inginkan pahala ke akhir hayat...

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Wednesday, October 27, 2010

MUJAHIDAH DARI BUMI JIHAD



Aku wanita mujahidah

Yang tercipta dari rusuk lelaki jihad

Bilakah kan datang seorang peminang menghampiriku

Mengajak untuk berjihad

Akan ku dampinginya di sana

Akan ku bersedia dengan semua syaratnya

Cinta ALLAH dan Rasul lebih utama

Aku rela berkelana mengembara

Melindungi agama ALLAH

Ikhlas menyebarkan dakwah ke penjuru bumi ALLAH

Tak mungkin ku pilih dirimu

Bila dunia lebih kau damba

Lupa kampung halaman, sanak saudara

Bahkan harta harta yang terpendam

Aku rela hidup terasing seadanya

Asalkan di akhirat bahagia

Saat aku setuju, dan kau tiada ragu

Aku tekad menemanimu

Aku wanita mujahidah

Mengalir pada nadiku darah lelaki yang berjihad

Bilakah kan datang padaku, peminang yang penuh tawadhuk

Akan ku harungi bahtera lautan jihad

Jika kau tak bersedia untukku

Agar jiwa dan ragamu tak terusik

Dibebani dengan manja, gundah dan gelisahku

Tinggalkanlah aku

Tak mungkin aku memilihmu

Jika yang fana lebih kau cinta

Kemilau dunia dan remang lampu kota

Lazat makanan dan laju nafsu durjana

Meninggalkan dakwah,

Dan menanggalkan pakaian taqwaku, dengan laranganmu

Meniti jalan panjang medan jihad

Yang ada hanya darah dan airmata

Debu berterbangan,

Luka dan syahid yang berulang….

Jika masih ada ragu di hatimu

Akan ku teguhkan azam untuk melupakanmu

Aku wanita dari bumi jihad

Dengan sebakul semangat

Ku siapkan diri menanti pendamping hati

Memaut bahagia, pelepas lelah dan kejenuhan

Ku tepiskan semua mimpi yang tak bererti

Adakah yang sedia mendamaikan hatiku?

Perjalanan ini tak mungkin ku langkah sendiri

Tanpa peneguh kaki, pendamping perjuangan

Yang melepaskan dengan selafaz doa

Meraih syahid tujuan utama

Rabbi, ku dengar panggilanMu

Untuk meniti jalan redhaMu

Datangkanlah pendamping, menemaniku..


...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Tuesday, October 26, 2010

cukupkah masa ini....?


dedikasi untuk semua insan dalam hidupku...

semalam berlalu,
mengingatkan pada tiap detik berliku
memahatkan sesuatu yg telah pasti berlaku...
seketika, terngadah menyedari
hakikat diri belum memberi erti
........?

semalam yang lalu.
kualitikah masa itu...?
apa yang terisi pada detik waktu yg berlalu?

pada Tuhan,
yang bersumpah atas masa,
ku pohon, agar masa ini di berkati,
untuk ku sampaikan pada dunia,
betapa mereka ku kasihi,
betapa darah ini berkata,
berilah erti pada dunia dan segala isi,
dalam kita berganding sama,
mendapatkan redha Ilahi....

cukupkah masa ini?
untukku coretkan seuntai rasa
untukku coretkan sebuah cinta
untukku coretkan sebait umpama
untukku coretkan bahawa,
segala amal kita, adalah untuk damai di sana....

masih adakah lagi masa itu...?
untuk kau dengar kata-kataku?
untuk kau hayati lafaz cinta untukmu?
bahawa aku menyayangimu
untuk seluruh hayatku
atas nama Rabb, Tuhanku......

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Thursday, October 7, 2010

segalanya hanya kerana ALLAH...


"Syeikh al Gazali al Misri ada menyebut: setiap individiu yg ikhlas (dan benar pegangannya) dlm perjuangan memartabatkan islam, dia diumpamakan sebagai benteng didalam benteng pertahanan islam."



"Mak selalu rasa sayu, pada tiap senja yang berlabuh, pada tiap sayu suara alunan merdu zikir dan selawat...," aku masih ingat, mak pernah meluahkan ayat ini. lalu, awal sebelum maghrib, mak akan sibuk di tikar sejadahnya. jika dia tak ada apa-apa aktiviti dengan kebunnya di luar rumah. mak akan setia menanti saat untuk berbicara dengan 'kekasih'nya. awal waktu menunggu. lambat menyudahkan pertemuan itu. dan mencari waktu luang lainnya untuk kembali berbicara bersama. apa yang penting, pasti ada masa yang mak luangkan khusus untuk 'kekasih' sejati nya itu.

saat mendengar luahan mak, aku hanya dia menggumam. tak tahu apa yang ingin di kata. akal ligat berfikir, memproses kata-kata mak, lalu menghantar isyarat kepada hati dan wajah, untuk menzahirkan riak yang sepatutnya. hanya wajah berbicara. ketika itu, aku tahu mengapa luahan itu begitu menyentuh hatiku, namun aku tak dapat meluahkannya di mulut.

lalu, apa yang berbicara pada akal dan hati pada saat itu, kembali berbicara padaku kini. arwah nenek kembali ke rahmatullah pada usia mak belum menjangkau 20 tahun. pastinya ketika itu dunia mak terasa sepi. walau di isi dengan segala macam program untuk menutup lompang kosong itu, takkan tertutup. kesepian, rindu, dan segala macam rasa itu mendasari lubuk hati. tak mampu terluahkan melalui kata-kata. walau ketika bermunajat pada 'DIA'....mulut tak mampu berbicara...hanya hati berdetak-detuk meluahkannya. pantas saja air mata tak mampu di empang...

walau jarak umur itu hanya 6 tahun, aku ttp merasai apa yang mak rasai dulu. mungkin juga adik2 turut alaminya...namun, bukan atas dasar pentingkan diri, rasa itu tetap saja berada di lubuk hati. aku tak mampu membawanya ke atas. ia tak mampu ku keluarkan dan pamerkan ia pada wajah, pada kata-kata, pada air mata dan pada segalanya...

hanya DIA Yang Maha Tahu....bahawa hati ini pilu tanpa sebarang toresan, hati ini sakit tanpa sebarang kecederaan, hati ini duka tanpa sebarang derita...tapi...hati ini bengkak menahan rindu padamu bondaku yang mencintai DIA lebih dari segalanya...

yang mengenalkan batu asas agama dalam hidupku,
yang meyakinkan aku bahawa DIA satu-satunya paling berharga dalam hidup kita,
yang mengasihi kami atas dasar agama,
yang keras mengajar kami membaca kitab suciNya,
yang mengenalkan keteguhan cinta kami pada para Nabi-NabiNya,
yang merelakan tiap langkah perjuangan kami demiNya,
yang bonda zikirkan dalam tiap sedutan nafas udaraNya...

aku mencintai dan merindukan dia dalam hidupku....
kerna dia pernah mengajarkanku, bahawa cintailah segala yang ada di sekitarmu, teman, guru, sahabat, alam dan segala isinya, terutama perjuangan dan apa yang ada di sepanjang perjalanan ini, semata-mata segalanya hanya kerana DIA, ALLAH Yang Menciptakan alam dan segala isinya...

"SAYANG MAK SELAMANYA.....MOGA DIRIMU AMAN DI SANA,
RESTUMU DULU, MENGIRINGI TIAP LANGKAHKU................"

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Monday, September 27, 2010

aKu iNgIn NaFaS iNi PaNjAnG .......BaNtU, PiMpIn tAnGaNkU, kE sYuRgA SaNa.....


ini cuma sekadar sebuah coretan yang tak tahu di mana mula dan hujung nya. sekadar sebuah luahan rasa hati, pada saat tak tahu berbicara kepada sesiapa selain DIA, dan pada saat merasa bukan semua orang dapat memahami apa yang bersarang di kepala, dan pastinya, bukan semua mempunyai masa untuk mendengar luahan yang ntah apa-apa ni...tapi...pastinya DIA kan punya masa untuk mendengar luahan hati tiap hambanya. saya kongsikan di sini sekadarnya, untuk meluahkan apa yang bersarang di kepala. walau pun anda yang membaca mungkin takkan mengerti apa sebenarnya pokok masalah ni, sejuta terima kasih saya ucapkan kerana telah meminjamkan tangan anda untuk mencari blog ini, juga meminjamkan mata yang cantik itu untuk membaca coretan ini. syukran a'la kulli haal... ;)


siang tadi exam ulum hadith, alhamdulillah, masih ALLAH beri ilham untuk menjawab....moga2 beroleh hasil yang baik hendaknya...paling mengecewakan, ia adalah hari yang sangat tak berkualiti...ngantuk setiap kelas...huhu...akibat berjaga malam, memikirkan benda yang tak sepatutnya...Ya Tuhan, pimpinlah aku agar aku benar-benar berada di jalanMu,,...

moga tadi adalah hari terakhir dalam episod murung yang melanda hidupku. mengapakah?! bermula dari berita yang tidak enak itu, aku benar-benar ditampar ujian ini, walau hanya sedikit, tapi terasa ia sangatlah besar kesannya. mengapakah? sedang dulu, aku pernah lalui getir yang lebih pahit dari ini, Kau selalu memberi petunjukMu...namun kini, aku bagai tiada layar arah itu.

bersemangat!!!! sedang dulu kau sudah dibesarkan dengan penuh semangat oleh jiwa itu, yang didadanya hanya ada jihad untuk agama. datanglah pelangi, membawa pergi hujan duka dan membawa datang wajah ceria....kau telah berada di tempat yang ramai orang impikannya. setelah jiwa itu berlelah menemani malam-malam mu untuk membaca, jiwa itu yang menghantarmu dengan restunya, bahkan jiwa itu yang berdoa untuk mu di depan rumahNya, apakah kau tidak merasa betapa lelahnya dia. membawa langkahnya untuk sampai ke tempat mulia, semata-mata mendoakan untukmu? sedarlah, bahawa kau sungguh beruntung, DIA mengurniakan mu lapangan sebenar sejak dulu. kalau kau masih menyedari....

sentiasalah gembira, kerana mukmin yang benar adalah yang gembira berada dalam penjara dunianya, kerna pasti di sana, lembah yang penuh rahmat menanti....
sungguh, episod murung ini benar-benar menampar pipiku, bahawa jasad itu telah tiada....pada saat air mata tak mampu diempang, aku mencari dia seperti dulu, untuk bercakap, bercerita, meminta nasihatnya...dan segalanya...tiada...nombornya ku dail, tiada sebarang jawapan...aku rindu............pada semuanya....segala yang aku lakukan pasti ada memori yang terimbas. lalu, benar, aku juga melakukan seperti apa yang telah dilakukannya dulu....temannya membesarkan kami hanyalah ALLAH....kekasihnya sepanjang mengasihi kami hanyalah ALLAH, penasihatnya juga hanya ALLAH...dan air mata itu terus laju. tanpa dapat disekat, dan tanpa aku tahu, di mana tempat letaknya selama ini, selama aku tak mengalirkannya....

dan aku tahu, aku akan melakukan apa yang telah dilakukannya, menggembirakan yang lain, dan memberi nyawaku kepada jalan yang telah terbentang ini. jiwa itu pasti tersenyum di sana, kerna dulu, dia telah memberi setiap nafasnya kepada perjuangan ini, lalu dia telah menghirup kembali nafas itu dengan segar sekali di sana......pasti!

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Wednesday, September 22, 2010

13 Syawal 1431 / 22 September 2010


22 September 1995,

ketika matahari mula memancarkan cahayanya, ku lihat ayah tidak senang duduk. langkahnya ke hulu dan ke hilir, seperti sedang memikirkan sesuatu. aku yang sedang membaca buku merasakan sedikit terganggu. aku pasti, sesuatu sedang dan akan berlaku. seketika, ayah keluar dari rumah, hilang sebentar. ayah pulang bersama seorang teman baiknya, kata ayah, mahu ke hospital. "Mak akan dibedah, doakan....," ringkas ayat yang ayah tinggalkan. aku melihat dari jauh hingga bayang kereta hilang dari pandangan.

hampir menjelang asar, ayah pulang, wajahnya ceria, namun ada segaris gusar diwajah yang membuatkan ku tertanya-tanya, apa lagi...? selepas solat maghrib, ayah keluar lagi. tapi sebentar kemudian kembali semula. kata ayah, "Mak selamat melahirkan kembar untuk keluarga kita, pembedahan...," perlahan suara ayah, lalu menyambung, "si kakak perlu di tahan dan dimasukkan ke incubator kerana denyutan jantungnya rendah, doakan ya," ayah mengharap sungguh.

buat pertama kalinya aku melihat ayah resah menanti kelahiran anaknya. bukan kerana ayah tidak prihatin pada mak, tapi, ada beberapa kekangan yang menyebabkan ayah tidak mampu mem'berada'kan diri saat kelahiran lain berlaku. namun ayah prihatin, memilih nama terbaik untuk kami, mengumumkan tiap kelahiran yang diraikan, bahkan melahirkan hasrat besarnya dari setiap kami yang menjengah dunia.

kembar pertama yang selamat disambut oleh tangan-tangan penyayang dari perut seorang ibu yang penyayang pada jam 12.05 tengahari dan yang kedua pada jam 12.07 tengahari Jumaat. ayah yang ketika itu masih berada dalam tahanan terhad, tidak dibenarkan keluar dari kawasan tanpa izin, telah mempertaruhkan keselamatannya demi menghadirkan diri saat kelahiran si kembar, penyeri keluarga kami.

permata cinta bonda itu membesar dari hari ke hari, walau berbagai ujian telah dilalui, si kembar terus bangun dan jatuh untuk berdiri teguh. mak pernah berpisah dari kembar yang masih di hospital, manakala mak di rumah bersama si kembar yang lain. kembar 12.05 yang masih lemah di dalam incubator itu berdikari sendiri ketika mak tiada. hampir 2 minggu lamanya. dan akhirnya dia pulang ke pangkuan kami dengan selamatnya.

ketika usia mereka mencapai 2 bulan, sekali lagi kami di kejutkan dengan peristiwa si kembar 12.05 lemah seharian. setiap susu yang diminum, terus keluar bagaikan tanpa ada tapisan di dalam badannya dengan warna air yg jernih. seharian dia tidak mengeluarkan suara, tiada tangisan, tiada gelak tawa dari agahan kami, tiada mata cantik yang celik.akhirnya, badannya menjadi sangat lembik dan biru. mak mengalirkan air matanya, tidak sanggup melihat si kembar tanpa suara begitu.....hampir maghrib kami menunggu. akhirnya si kembar 12.05 kami kejarkan ke Hospital Sungai Buloh, bahagian kecemasan.

berita sampai ke rumah, 12.05 di tahan di wad kerana kekeringan air dalam badan. mujur di bawa ke hospital segera. jika terlambat sedikit saja, doktor meramalkan dia bakal pergi dari kami. Ya Allah, betapa aturanMu sangat indah buat kami...kembar 12.07 kami jaga di rumah. saat itu aku berusia 12 tahun. apalah yang aku reti lakukan pada seorang bayi...namun, hanya berusaha agar dia tidak lapar dan menangis. tapi dia tahu bahawa kakaknya memang belum tahu menjaganya. dia tidak banyak meragam. Alhamdulillah...

ketika usia si kembar menjelang setahun, kami dapati bahawa kembar 12.05 lebih kecil dan mudah sakit berbanding kembar 12.07. Lalu kami sekeluarga sepakat mengubah urutan jam itu. 12.07 menjadi si kakak, manakala 12.05 menjadi si adik. kekallah panggilan itu sehingga sekarang.

ketika keluarga kami dilanda ujian besar saat kehilangan ayah, kami sekali lagi diuji, kembar ini, ada yang ingin milikinya. mak berusaha keras mempertahankan bahawa mak mampu menguruskan kami semua. walau pada saat itu, belum nampak apa2 jalan untuk terus mengisi perut pada hari esoknya. ditambah lagi perbelanjaan menguruskan si kembar bukan sedikit.

kami membawa si kembar jauh dari tempat itu. membesarkan mereka dengan seribu rintangan yang melanda. mak mengekar urat2 menjadi entah apa demi membesarkan kami, terutama si kembar. setiap bulan dengan pemeriksaan bulanan di klinik dan hospital, susu tin paling besar, bekalan ubat-ubatan yang tak boleh putus, serta program bulanan untuk minda si kembar.

rumah kecil itu menjadi saksi, ALLAH memberi kekuatan kepada mak untuk segalanya. mencukupi ruang kosong ketiadaan ayah, memenuhi rumah kami dengan kasih seorang ibu, mengisi jiwa-jiwa kami dengan jiwa pendidik, menyahut gelak tawa dan gurau senda kami dengan sentuhan sahabat, kawan dan teman sepanjang jalan, serta segalanya...

kami sungguh merasai aturanMu, setiap detik dan saat itu kami rakamkan dan sematkan di hati, bahawa nama bonda yang harum dan Kau redhai ini takkan pernah hilang dari hati-hati mereka yang rindukanMu...sungguh, bonda melangkah dan membawa kami sama melangkah ke lapangan dakwah, saat kami pernah merasa lelah kerana tiada teman sebaya di jalan ini, bonda ini menguatkan bahawa, mereka yang berada di jalan ini, hati dan jiwanya tak pernah tua, bahkan sentiasa muda untuk terus berganding bahu bersama orang-orang muda yang ingin men'tua'kan matang berfikir mereka.

mak sentiasa membawa si kembar pada setiap halaqah mingguan, dari kecil hingga besar, selagi mak masih mampu memboncengkan mereka di basikal. apabila si kembar sudah boleh membawa mak ke tempat program, mereka pula mengganti tempat, memboncengkan emak ke hulu ke hilir.

22 September 2010, usia si kembar 15 tahun.

setelah 14 tahun emak meraikan mereka setiap tahun, ini thn pertama sepi tanpa emak. si kembar persis mak, melangkah tabah, indah menghiasi rumah kami. 15 tahun yang lalu, ALLAH telah menetapkan aturanNya dengan melahirkan sikembar dalam keluarga kami. mencukupkan bilangan kesepuluh, dan menutup perut besar ibu yang mengandungkan kami semua dengan segaris luka pembedahan. garisan yang sentiasa mak tunjukkan pada kami untuk sentiasa mengingatkan kami, bahawa bukan sekadar kesakitan bersalin yang mak rasai, bahkan segaris luka bedah ini membuktikan bahawa sayang mak tak terperi untuk membolehkan kami melihat dunia, garis luka pedih itu terus kekal di perut mak, tapi mak selalu senyum dan sabar setiap kali hatinya terguris dek kerana kenakalan kami.

"Ya Allah, ampunkan kami kerana menyakiti bonda yang tulus hatinya kepadaMu, tempatkan lah dia di tempat orang-orang terbaik di sisiMu..."

"Ya Allah, rahmati dia dan sejukkan perutnya yang telah melahirkan kami ke dunia Mu"

"Sungguh, bahawa kami merasa bahagia kerana dia seorang bonda yang mengenalkan kami padaMu, RABBI"

bonda pergi dengan meninggalkan si kembar kepada kami. permata keluarga ini yang mak telah gilap separuh darinya. kerja itu perlu kami sambung untuk memastikan permata bernilai ini terus bersinar kemilaunya. ALLAH meletakkan aturanNya dengan memberikan kami kembar ini, kerana takdirNya telah menentukan bahawa bonda yang kami cintai pergi saat usia si kembar masih muda. namun, si kembar, kerana dua nya, mempunyai teman untuk berbicara. ketiadaan bonda membuatkan mereka saling melengkapi kehidupan masing-masing, menghidupkan jiwa dan semangat bonda di hati kami semua.

melihat mereka, kami mengenangkan bonda tercinta. dalam gembira kami dengan lawak jenaka, gurau senda si kembar, hati kami lirih, dan selalu berbicara, berilah kami hati seteguh bonda yang pergi, kerana, sungguh kami sebenarnya tak mampu menggalas tanggungjawab besar yang bonda tinggalkan buat kami.

22 September 1995, bonda yang kami cintai itu menghadiahkan teman buat kami setelah ketiadaannya pada 18 Januari 2010.

mekarlah puteri kesayangan bonda, mekarlah atas jalan agama, sepertimana gigihnya bonda kita melahirkan kamu berdua pada jalan agama, keyakinan yang tak pernah ada dua pada RABB-NYA....

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

Wednesday, September 8, 2010

Padamu yang Allah pilihkan dalam hidupku..



Dari Ummu Salamah, ia berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda :“Seorang perempuan jika meninggal dan suaminya meredhoinya, maka dia akan masuk surga.”

(Hadith Riwayat Ahmad dan Thabrani)

*****************************************************************************************************************************

Padamu yang Allah pilihkan dalam hidupku..

Ingin ku beri tahu padamu..

Aku hidup dan besar dari keluarga bahagia..

Orang tua yg begitu sempurna..

Dengan cinta yg begitu membuncah..

Aku dibesarkan dgn limpahan kasih yang tak terhingga..

Maka, padamu ku katakan..

Saat Allah memilihmu dalam hidupku,

Maka saat itu Dia berharap, kau pun sanggup melimpahkan cinta padaku..

Memperlakukanku dgn sayang yang begitu indah..

Padamu yang Allah pilihkan untukku..

Ketahuilah, aku hanya wanita biasa dengan begitu banyak kekurangan dalam diriku,

Aku bukanlah wanita sempurna, seperti yang mungkin kau harapkan..

Maka, ketika Dia memilihmu untukku,

Maka saat itu, Dia ingin menyempurnakan kekuranganku dgn keberadaanmu.

Dan aku tahu, Kaupun bukanlah laki-laki yang sempurna..

Dan ku berharap ketidaksempurnaanku mampu menyempurnakan dirimu..

Karena kelak kita akan satu..

Aibmu adalah aibku, dan indahmu adalah indahku,

Kau dan aku akan menjadi ‘kita’..

Padamu yg Allah pilihkan untukku..

Ketahuilah, sejak kecil Allah telah menempa diriku dgn ilmu dan tarbiyah,

Membentukku menjadi wanita yg mencintai Rabbnya..

Maka ketika Dia memilihmu untukku,

Maka saat itu, Allah mengetahui bahwa kaupun telah menempa dirimu dgn ilmuNya.. Maka gandeng tanganku dalam mengibarkan panji-panji dakwah dalam hidup kita..

Itulah visi pernikahan kita..

Ibadah pada-Nya ta’ala..

Padamu yg Allah tetapkan sebagai nahkodaku..

Ingatlah.. Aku adalah mahlukNya dari tulang rusuk yang paling bengkok..

Ada kalanya aku akan begitu membuatmu marah..

Maka, ketahuilah.. Saat itu Dia menghendaki kau menasihatiku dengan hikmah,

Sungguh hatiku tetaplah wanita yg lemah pada kelembutan..

Namun jangan kau coba meluruskanku, karena aku akan patah..

Tapi jangan pula membiarkanku begitu saja, karena akan selamanya aku salah..

Namun tatap mataku, tersenyumlah..

Tenangkan aku dgn genggaman tanganmu..

Dan nasihati aku dgn bijak dan hikmah..

Niscaya, kau akan menemukanku tersungkur menangis di pangkuanmu..

Maka ketika itu, kau kembali memiliki hatiku..

Padamu yang Allah tetapkan sebagai atap hunianku..

Ketahuilah, ketika ijab atas namaku telah kau lontarkan..

Maka dimataku kau adalah yang terindah,

Kata2mu adalah titah untukku,

Selama tak bermaksiat pada Allah, akan ku penuhi semua perintahmu..

Maka kalau kau berkenan ku meminta..

Jadilah hunian yg indah, yang kokoh…

Yang mampu membuatku dan anak-anak kita nyaman dan aman di dalamnya..

Padamu yang Allah pilih menjadi penopang hidupku…

Dalam istana kecil kita akan hadir buah hati-buah hati kita..

Maka didiklah mereka menjadi generasi yg dirindukan syurga..

Yang di pundaknya akan diisi dgn amanah-amanah dakwah,

Yang ruh dan jiwanya selalu merindukan jihad..

Yang darahnya mengalir darah syuhada..

Dan ku yakin dari tanganmu yg penuh berkah, kau mampu membentuk mereka..

Dengan hatimu yg penuh cinta, kau mampu merengkuh hati mereka..

Dan aku akan selalu jatuh cinta padamu..

Padamu yang Allah pilih sebagai imamku…

Ku memohon padamu.. Ridholah padaku,

Sungguh Ridhomu adalah Ridho Ilahi Rabbi..

Mudahkanlah jalanku ke Surga-Nya..

Karena bagiku kau adalah kunci Surgaku..

************************************************************************************************************************

( Oleh Aztriana 180610/ 01’50 Makassar.. ^_^v )


HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!