Wednesday, September 22, 2010

13 Syawal 1431 / 22 September 2010


22 September 1995,

ketika matahari mula memancarkan cahayanya, ku lihat ayah tidak senang duduk. langkahnya ke hulu dan ke hilir, seperti sedang memikirkan sesuatu. aku yang sedang membaca buku merasakan sedikit terganggu. aku pasti, sesuatu sedang dan akan berlaku. seketika, ayah keluar dari rumah, hilang sebentar. ayah pulang bersama seorang teman baiknya, kata ayah, mahu ke hospital. "Mak akan dibedah, doakan....," ringkas ayat yang ayah tinggalkan. aku melihat dari jauh hingga bayang kereta hilang dari pandangan.

hampir menjelang asar, ayah pulang, wajahnya ceria, namun ada segaris gusar diwajah yang membuatkan ku tertanya-tanya, apa lagi...? selepas solat maghrib, ayah keluar lagi. tapi sebentar kemudian kembali semula. kata ayah, "Mak selamat melahirkan kembar untuk keluarga kita, pembedahan...," perlahan suara ayah, lalu menyambung, "si kakak perlu di tahan dan dimasukkan ke incubator kerana denyutan jantungnya rendah, doakan ya," ayah mengharap sungguh.

buat pertama kalinya aku melihat ayah resah menanti kelahiran anaknya. bukan kerana ayah tidak prihatin pada mak, tapi, ada beberapa kekangan yang menyebabkan ayah tidak mampu mem'berada'kan diri saat kelahiran lain berlaku. namun ayah prihatin, memilih nama terbaik untuk kami, mengumumkan tiap kelahiran yang diraikan, bahkan melahirkan hasrat besarnya dari setiap kami yang menjengah dunia.

kembar pertama yang selamat disambut oleh tangan-tangan penyayang dari perut seorang ibu yang penyayang pada jam 12.05 tengahari dan yang kedua pada jam 12.07 tengahari Jumaat. ayah yang ketika itu masih berada dalam tahanan terhad, tidak dibenarkan keluar dari kawasan tanpa izin, telah mempertaruhkan keselamatannya demi menghadirkan diri saat kelahiran si kembar, penyeri keluarga kami.

permata cinta bonda itu membesar dari hari ke hari, walau berbagai ujian telah dilalui, si kembar terus bangun dan jatuh untuk berdiri teguh. mak pernah berpisah dari kembar yang masih di hospital, manakala mak di rumah bersama si kembar yang lain. kembar 12.05 yang masih lemah di dalam incubator itu berdikari sendiri ketika mak tiada. hampir 2 minggu lamanya. dan akhirnya dia pulang ke pangkuan kami dengan selamatnya.

ketika usia mereka mencapai 2 bulan, sekali lagi kami di kejutkan dengan peristiwa si kembar 12.05 lemah seharian. setiap susu yang diminum, terus keluar bagaikan tanpa ada tapisan di dalam badannya dengan warna air yg jernih. seharian dia tidak mengeluarkan suara, tiada tangisan, tiada gelak tawa dari agahan kami, tiada mata cantik yang celik.akhirnya, badannya menjadi sangat lembik dan biru. mak mengalirkan air matanya, tidak sanggup melihat si kembar tanpa suara begitu.....hampir maghrib kami menunggu. akhirnya si kembar 12.05 kami kejarkan ke Hospital Sungai Buloh, bahagian kecemasan.

berita sampai ke rumah, 12.05 di tahan di wad kerana kekeringan air dalam badan. mujur di bawa ke hospital segera. jika terlambat sedikit saja, doktor meramalkan dia bakal pergi dari kami. Ya Allah, betapa aturanMu sangat indah buat kami...kembar 12.07 kami jaga di rumah. saat itu aku berusia 12 tahun. apalah yang aku reti lakukan pada seorang bayi...namun, hanya berusaha agar dia tidak lapar dan menangis. tapi dia tahu bahawa kakaknya memang belum tahu menjaganya. dia tidak banyak meragam. Alhamdulillah...

ketika usia si kembar menjelang setahun, kami dapati bahawa kembar 12.05 lebih kecil dan mudah sakit berbanding kembar 12.07. Lalu kami sekeluarga sepakat mengubah urutan jam itu. 12.07 menjadi si kakak, manakala 12.05 menjadi si adik. kekallah panggilan itu sehingga sekarang.

ketika keluarga kami dilanda ujian besar saat kehilangan ayah, kami sekali lagi diuji, kembar ini, ada yang ingin milikinya. mak berusaha keras mempertahankan bahawa mak mampu menguruskan kami semua. walau pada saat itu, belum nampak apa2 jalan untuk terus mengisi perut pada hari esoknya. ditambah lagi perbelanjaan menguruskan si kembar bukan sedikit.

kami membawa si kembar jauh dari tempat itu. membesarkan mereka dengan seribu rintangan yang melanda. mak mengekar urat2 menjadi entah apa demi membesarkan kami, terutama si kembar. setiap bulan dengan pemeriksaan bulanan di klinik dan hospital, susu tin paling besar, bekalan ubat-ubatan yang tak boleh putus, serta program bulanan untuk minda si kembar.

rumah kecil itu menjadi saksi, ALLAH memberi kekuatan kepada mak untuk segalanya. mencukupi ruang kosong ketiadaan ayah, memenuhi rumah kami dengan kasih seorang ibu, mengisi jiwa-jiwa kami dengan jiwa pendidik, menyahut gelak tawa dan gurau senda kami dengan sentuhan sahabat, kawan dan teman sepanjang jalan, serta segalanya...

kami sungguh merasai aturanMu, setiap detik dan saat itu kami rakamkan dan sematkan di hati, bahawa nama bonda yang harum dan Kau redhai ini takkan pernah hilang dari hati-hati mereka yang rindukanMu...sungguh, bonda melangkah dan membawa kami sama melangkah ke lapangan dakwah, saat kami pernah merasa lelah kerana tiada teman sebaya di jalan ini, bonda ini menguatkan bahawa, mereka yang berada di jalan ini, hati dan jiwanya tak pernah tua, bahkan sentiasa muda untuk terus berganding bahu bersama orang-orang muda yang ingin men'tua'kan matang berfikir mereka.

mak sentiasa membawa si kembar pada setiap halaqah mingguan, dari kecil hingga besar, selagi mak masih mampu memboncengkan mereka di basikal. apabila si kembar sudah boleh membawa mak ke tempat program, mereka pula mengganti tempat, memboncengkan emak ke hulu ke hilir.

22 September 2010, usia si kembar 15 tahun.

setelah 14 tahun emak meraikan mereka setiap tahun, ini thn pertama sepi tanpa emak. si kembar persis mak, melangkah tabah, indah menghiasi rumah kami. 15 tahun yang lalu, ALLAH telah menetapkan aturanNya dengan melahirkan sikembar dalam keluarga kami. mencukupkan bilangan kesepuluh, dan menutup perut besar ibu yang mengandungkan kami semua dengan segaris luka pembedahan. garisan yang sentiasa mak tunjukkan pada kami untuk sentiasa mengingatkan kami, bahawa bukan sekadar kesakitan bersalin yang mak rasai, bahkan segaris luka bedah ini membuktikan bahawa sayang mak tak terperi untuk membolehkan kami melihat dunia, garis luka pedih itu terus kekal di perut mak, tapi mak selalu senyum dan sabar setiap kali hatinya terguris dek kerana kenakalan kami.

"Ya Allah, ampunkan kami kerana menyakiti bonda yang tulus hatinya kepadaMu, tempatkan lah dia di tempat orang-orang terbaik di sisiMu..."

"Ya Allah, rahmati dia dan sejukkan perutnya yang telah melahirkan kami ke dunia Mu"

"Sungguh, bahawa kami merasa bahagia kerana dia seorang bonda yang mengenalkan kami padaMu, RABBI"

bonda pergi dengan meninggalkan si kembar kepada kami. permata keluarga ini yang mak telah gilap separuh darinya. kerja itu perlu kami sambung untuk memastikan permata bernilai ini terus bersinar kemilaunya. ALLAH meletakkan aturanNya dengan memberikan kami kembar ini, kerana takdirNya telah menentukan bahawa bonda yang kami cintai pergi saat usia si kembar masih muda. namun, si kembar, kerana dua nya, mempunyai teman untuk berbicara. ketiadaan bonda membuatkan mereka saling melengkapi kehidupan masing-masing, menghidupkan jiwa dan semangat bonda di hati kami semua.

melihat mereka, kami mengenangkan bonda tercinta. dalam gembira kami dengan lawak jenaka, gurau senda si kembar, hati kami lirih, dan selalu berbicara, berilah kami hati seteguh bonda yang pergi, kerana, sungguh kami sebenarnya tak mampu menggalas tanggungjawab besar yang bonda tinggalkan buat kami.

22 September 1995, bonda yang kami cintai itu menghadiahkan teman buat kami setelah ketiadaannya pada 18 Januari 2010.

mekarlah puteri kesayangan bonda, mekarlah atas jalan agama, sepertimana gigihnya bonda kita melahirkan kamu berdua pada jalan agama, keyakinan yang tak pernah ada dua pada RABB-NYA....

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

No comments:

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!