Sunday, December 19, 2010

debu jalan dakwah

16 Disember 2010

Hampir setahun yang lalu, saya menjejakkan kaki ke daerah senyum dalam derita ini dengan tujuan lain. Tapi kali ini saya kembali buat kali ketiga hampir pada tarikh pertama kali saya ke sini. Ketika itu, saya ke sana dengan debaran kerana melangkah pergi, sedang bonda tercinta sedang bertarung dengan kesakitan. Hati saya berbelah bagi, antara ibu dan sahabat. Namun, atas kasih ibu tercinta, saya langkahkan kaki jua. Daerah yang basah, subur dengan darah para syuhada'...

dan

Saya kembali lagi ke sini, untuk bersama-sama mereka yang memerlukan. Mereka tak memerlukan materi, tetapi sambungan kasih saudara seagama sudah cukup bagi mereka untuk merasakan bahawa mereka tidak bersendirian berjuang. Perjalanan dilitupi debu ini bukan sahaja membawa bersama lelah di badan, tapi debu dakwah yang berterbangan menghinggap tiap inci tubuh bersama keringat sepanjang jalan.

Saya dan rakan-rakan dihidangkan dengan cerita duka pertama dari adik Habibah di Maa'had mengenai bapa saudaranya yang telah kembali kepada ALLAH kerana di tembak oleh pihak yang tidak dikenali. Habibah menangis ketika menceritakannya. Betapa keakraban mereka sehingga pemergian bapa saudara amat dirasai olehnya. Saya merenung betapa institusi kekeluargaan di Malaysia sudah jauh dari ini. Sudah amat jarang sensitiviti di dalam diri.

Ketika beramah mesra dengan penduduk sekitar Maahad, kami menemui sepasang suami isteri, yang mana isterinya berasal dari Johor. Mereka turut gembira dengan kedatangan kami. Hampir keseluruhan kisah duka mereka, sama. Tanpa usul periksa, mereka di tangkap dan di bawa pergi bertahun lamanya. Malah ada di kalangan mereka yang tidak kembali lagi kepada keluarganya. Kehilangan tanpa jejak untuk dikesan.

Kehadiran kami diraikan oleh warga Maahad yang menanti sekian lama. Walaupun kami lewat tiba, sambutan yang diterima amat mengharukan. Dengan serba kekurangan, mereka menyediakan kami juadah yang sedap.

17 Disember 2010

Kami memulakan misi ziarah mangsa konflik Selatan Thai dan Pejabat Operasi Peguam Muslim, yang membela mangsa-mangsa konflik melalui perundangan. Betapa dalam kekurangan, mereka melakukan kerja dengan baik, tak pernah mengharapkan ganjaran hidup selesa. Bahkan perjuangan membantu mangsa konflik bakal menghadiahkan mereka nyawa di hujung peluru dan pedang. Hidup mereka yang mengusahakan pembelaan hak kemanusiaan ini benar-benar terancam. Hanya sepenuhnya pada Tuhan mereka letakkan harapan.

Ketika menziarahi Keluarga Allahyarham Faisol, anak muda yang syahid, saya dan rakan-rakan menahan rasa sebak pada mulanya. Keluarga ini benar-benar tabah menghadapi kehilangan harapan tunggak keluarga satu-satunya selepas ayah mereka. Allahyarham merupakan anak tunggal lelaki dalam keluarga ini. Seorang pelajar yang baik, aktif dan periang. Namun, sekelip mata segalanya berubah apabila dia disyaki tanpa sebarang bukti sebagai perancang sebuah pembunuhan.

Faisol dijejaki selama tiga tahun dan akhirnya syahid setelah ditembak berdas-das tembakan oleh pihak tentera Thai dari darat dan udara. Dia melawan serangan itu berseorangan. Saya berada di sebelah ibunya. Saya menggenggami tangan ibunya. Yang bergetaran ketika itu bukan ibunya, malah saya. Ibu tabah ini benar-benar dipilih Allah melahirkan syuhada' dari rahimnya. Benar-benar istimewa.

Pemergian Faisol diiringi redha ibu dan ayahnya sepenuh hati. Buat anak lelaki tercinta ini, mereka hadiahi solat di setiap malam dengan doa agar anak mereka di rahmati. Bahkan solat malam ini belum pernah sekalipun tertinggal sejak hari pertama pemergiannya, menurut ibunya. Ketika ditanya, "Apakah yang ibu ingin katakan dengan pemergiannya?", dia hanya berkata, 'cukup sudah dia membahagiakan kami ketika hayatnya, malah pemergiannya dengan sangat mulia, dan dia akan membahagiakan kami di Akhirat dengan kesyahidannya'.

YA ALLAH, betapa itu yang kami rindukan...bisik dari setiap hati kami.

18 Disember 2010

Sebelum perjalanan pulang, kami singgah menziarahi tiga korban terbaru di daerah getir ini. Sebuah kampung aman damai, tetapi di golak oleh kedatangan tentera yang menggobek-gobek keamanan kampung ini. Ketua Mukim, seorang ahli jawatankuasa dan Imam Masjid menjadi korban.

Merenung wajah-wajah mereka yang ditinggalkan, membuat hati saya kembali menghimbau kenangan lama. Ketika sesuatu terjadi dalam kehidupan saya, hampir sama, namun saya dan adik-adik masih sangat bertuah berbanding mereka. Alhamdulillah, ALLAH menganugerahi ibu yang kuat untuk bangun dari kejadian itu. Dan hasilnya kini, walaupun ibu yang saya kasihi sudah tiada, saya pasti dia sedang tersenyum saat pemergiannya. Kerana selesai sudah tanggungjawabnya melaksanakan amanah sebagai seorang ibu.

Perjalanan pulang terasa begitu lambat, berbanding perjalanan pergi ke daerah itu. Saya meletakkan daerah ini dan segala isinya di hati. Betapa ingin di jerit agar semua telinga yang tuli mendengarkan bahawa, BUMI INI PUNYA JIWA-JIWA MERDEKA, TIDAK AKAN GENTAR WALAU DENGAN APA CARA!!!



...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

No comments:

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!