Wednesday, June 30, 2010

MENCARI RASA DALAM DIRI

Salam untuk semua teman, salam juga untuk diri saya. Sudah lama saya tidak menjenguk ke sini. Entah apa yang berlaku. Dunia yang setiap hari pastinya menyumpah perbuatan umat manusia yang tidak sedar diri, tidak pernah saya peduli. Semuanya kerana kesibukan duniawi yang entah apa-apa. Maaf untuk diri saya sendiri, kerana selalu membiarkan diri lesu, tanpa pernah mengambil peduli. Sedarlah diri, bahawa kini, saya takkan berpaling kembali. Kerana ini adalah jalan yang saya pilih untuk mu, wahai diri. Saya akan pastikan bahawa kita bersama-sama nanti bergandingan melalui titian indah ke syurgaNya.

Telah lama saya tinggalkan ruang dan lapangan yang saya sangat sayangi. Masih teringat, suatu ketika dulu, saya pernah mengaku bahawa tidak akan lalui jalan ini dek kerana pengalaman yang saya rasakan sangat pahit ketika itu. Namun, takdirNya membuat hati yang beraja dalam diri berubah. Saya memilih jalan ini tanpa saya sedari, sebenarnya. Syukur, kerana saya punya ramai teman, sahabat dan guru yang sangat dedikasi dalam mentarbiyah diri ini. Dengan izinNya, tanpa mereka, siapalah saya di sini.

Saat itu, saya belajar mencari rasa dalam diri. Cuba memahami hati-hati yang khusyu' dan tawadhu'...cuba mengejar tingkatan diri yang saya hanya lihat melalui mata kasar. Akhirnya, lapangan yang dulunya saya benci kini menjadi yang paling saya cintai. Menyemai benih jihad dalam diri. Memahami tindak-tanduk yang selama ini tak pernah saya fahami. Dan akhirnya, segala persoalan yang ada dalam kepala saya terjawab akhirnya. Bahawa, syukurlah diri, saya lahir dari ayah dan ibu yang mencintai lapangan ini. Sedarlah diri, bahawa saya memang dilahirkan untuk ini. Apakah ada yang lebih baik dari ini...? Jawab lah....keluarkan apa yang ada di hatimu.

Kini, kaki jauh melangkah. Dan lapangan itu tetap ada di mana-mana. Membawa saya sentiasa menghirup bau-bau wangi sepanjang perjalanan ini. Rasa yang selama ini saya cari, yang saya rasakan ia adalah semangat dari dia, ibu yang disayangi, rupa-rupanya hanya sedikit dari keseluruhannya. Sedangkan ibu itu mendapat rasa dari Dia yang ibu cintai lebih dari segalanya.

Itulah rasa cinta, penuh semangat, berani berjihad dan segala kualiti pada ibu yang telah ku temui. Alhamdulillah, tanpa pernah merasa terlambat, ibu pasti tersenyum sejak dulu, ketika dia meletakkan rasa cinta dan segalanya itu pada setiap tutur katanya, setiap suapan makanan, setiap belaian malam. SEJAK DULU...

IBU TELAH MEWARISKAN RASA CINTA PADA PERJUANGAN INI, agar saya fahami maksudnya, seterusnya mencari dan meletakkan ia di hati...

...dari hati yang mengingati...bahawa hanya DIA untukku...

HULURKAN SUMBANGAN ANDA UNTUK SAUDARA KITA DI FATHONI DARUSSALAM

Create your own banner at mybannermaker.com!